kelulusan pelan pembangunan perlu dipercepat — Arifin
Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memainkan peranan signifikan dalam memacu pembangunan di setiap daerah serta memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dilaksanakan secara cekap dan berkesan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, antara fokus utama kementerian adalah mempercepatkan tempoh kelulusan lesen serta pelan pembangunan bagi memudahkan pelaksanaan projek-projek pembangunan di negeri ini.
Menurut beliau, warga Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) perlu terus meningkatkan prestasi kerja serta melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komitmen bagi memastikan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Bersama pembantu menteri dan Setiausaha Tetap kementerian, kita akan terus memantau perkembangan serta menerima input daripada pegawai dan masyarakat di daerah bagi menambah baik sistem penyampaian kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Amanat Menteri KKTP Tahun 2026 serta majlis berbuka puasa yang diadakan di Wisma Innoprise, di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Arifin berkata KKTP juga akan mengadakan program jelajah ke seluruh daerah bagi memperkukuh kerjasama bersama majlis daerah dan majlis perbandaran.
Katanya, program tersebut turut melibatkan kerjasama beberapa agensi termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) menerusi sesi taklimat dan pertemuan bersama rakan strategik di peringkat daerah.
Beliau berkata, program jelajah itu dijangka dilaksanakan selepas Ramadan bagi memperkukuh koordinasi antara kementerian, agensi serta pihak berkuasa tempatan di seluruh Sabah.

BERSALAMAN …. Dr Mohd Arifin bersalaman dengan warga KKTP pada Majlis Amanat Menteri KKTP Tahun 2026 serta majlis berbuka puasa di Wisma Innoprise pada Khamis.






