Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), David Ong mengalu-alukan serta menyokong langkah tegas Kerajaan Negeri Sabah dan Peguam Negeri Sabah untuk menentang rayuan Kerajaan Persekutuan dalam kes berkaitan hak perolehan bersih 40 peratus Sabah.
Beliau berkata, tindakan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam mempertahankan hak perlembagaan Sabah.
“LDP memuji Kerajaan Negeri Sabah kerana mengambil pendirian yang jelas dan berprinsip bagi memastikan hak yang dijamin kepada Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan dipertahankan dengan sewajarnya,” katanya.
Menurut beliau, kelayakan hasil 40 peratus bukanlah satu tuntutan baharu, sebaliknya merupakan peruntukan perlembagaan yang telah lama dibangkitkan oleh rakyat Sabah.
“Ia mencerminkan semangat asal pembentukan Malaysia serta keperluan memastikan pengaturan fiskal yang adil antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah.
“Walaupun kami menyokong langkah Kerajaan Negeri mempertahankan kedudukan Sabah melalui proses perundangan, kami juga menggesa Kerajaan Persekutuan supaya menghormati hak Sabah sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan,” katanya.
David turut menegaskan bahawa komitmen untuk memulihkan dan menghormati hak Sabah perlu disusuli dengan tindakan yang konkrit.
Beliau berkata, LDP percaya bahawa penyelesaian isu ini secara ikhlas dan adil akan memperkukuh kepercayaan antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah, sekali gus mempererat semangat kerjasama dalam Persekutuan.
“LDP akan terus berdiri bersama Kerajaan Negeri Sabah dalam mempertahankan hak perlembagaan serta kepentingan jangka panjang Sabah dan rakyatnya,” katanya.

DAVID ONG





