Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan mengadakan perhimpunan agung khas bagi membincangkan cadangan penstrukturan semula parti, sebagai langkah strategik memperkukuh organisasi dan mempertingkat kecekapan pentadbiran.
Ketua Penerangannya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata inisiatif tersebut bertujuan memastikan Gagasan Rakyat kekal tersusun, responsif dan relevan dalam mendepani landskap politik semasa, sekali gus menjadi tunjang kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan di Sabah.
“Struktur baharu yang dicadangkan dijangka kembali kepada pembahagian berasaskan 25 kawasan Parlimen di Sabah serta satu di Labuan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Berbuka Puasa Ketua Penerangan Gagasan Rakyat bersama media, di sini, pada Selasa.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan komitmen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mempertahankan Kerajaan Perpaduan negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menurutnya, GRS akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama semua parti dalam pentadbiran kerajaan negeri, termasuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), demi memastikan kestabilan politik terus terpelihara.
“Kita akan mempertahankan gabungan yang diterajui Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor. Kerajaan yang ada hari ini adalah Kerajaan Perpaduan, maka menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kesinambungannya,” katanya.
Beliau menambah, keutamaan parti ketika ini adalah memastikan kestabilan politik negeri kekal utuh sebagai asas kepada kesejahteraan rakyat Sabah.
“Momentum pentadbiran negeri berada pada landasan yang baik dan bergerak lancar, sekali gus memperkukuh hubungan positif antara kerajaan negeri dan Persekutuan demi kepentingan Sabah,” katanya.
Nizam, yang juga Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif, turut menyatakan keyakinan bahawa sokongan masyarakat Cina terhadap GRS akan terus meningkat menjelang PRU akan datang.
Menurutnya, sebelum ini terdapat kecenderungan pihak tertentu membawa isu nasional ke peringkat negeri, yang mempengaruhi corak sokongan pengundi.
“Namun, selepas beberapa bulan, saya yakin masyarakat semakin menilai secara matang dan memahami keutamaan sebenar dalam memilih kepimpinan negeri,” katanya.

SIDANG MEDIA ….. Nizam Abu Bakar Titingan ketika mengadakan sidang media
berhubung cadangan penstrukturan parti.





