Beri ruang kepada Anwar tangani isu tuntutan 40 peratus – Zaki

Oleh JOHN TAMBANAN


TAWAU: Aktivis masyarakat, Mohd. Zaki Harry Susanto menyambut baik jaminan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang memuktamadkan keputusan kerajaan Persekutuan untuk tidak meneruskan rayuan ke peringkat mahkamah lebih tinggi berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri Sabah.
Menurut beliau, langkah tersebut memberi isyarat jelas bahawa kerajaan pusat kini semakin terbuka dalam mencari penyelesaian terhadap isu berbangkit yang telah sekian lama menjadi tuntutan rakyat Sabah, khususnya berkaitan hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Rakyat Sabah sudah terlalu lama menunggu hak mereka ditunaikan. Ini bukan isu baharu, sebaliknya perkara berlarutan yang menuntut iltizam politik yang kukuh untuk diselesaikan,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial, hari ini.
Beliau berkata, pendekatan Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim mencerminkan kesungguhan dalam merealisasikan tuntutan tersebut, meskipun prosesnya memerlukan masa kerana melibatkan pelbagai dimensi pentadbiran dan perundangan.
“Dalam tempoh pentadbiran ini, beberapa langkah konkrit telah dilaksanakan. Meskipun tidak berlaku serta-merta, proses ini sememangnya memerlukan penelitian dan ketelitian yang rapi,” jelasnya.
Mohd. Zaki menegaskan bahawa Perdana Menteri wajar diberikan ruang dan masa bagi membuktikan komitmen yang dizahirkan, memandangkan isu MA63 bukan sesuatu yang boleh diselesaikan secara tergesa-gesa.
Katanya, desakan berlebihan atau provokasi politik bukan sahaja tidak membantu, malah berpotensi memperlahankan usaha penyelesaian kerana setiap proses birokrasi perlu dipatuhi.
“Birokrasi bukan untuk dipintas, sebaliknya berfungsi memastikan setiap keputusan adalah sah, telus dan tidak menimbulkan implikasi undang-undang pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggariskan beberapa indikator komitmen kerajaan pusat terhadap Sabah, termasuk peningkatan peruntukan khas kepada negeri itu sejak kebelakangan ini.
Selain itu, katanya, pemberian kuasa kepada kerajaan Sabah untuk meluluskan projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta turut mencerminkan anjakan signifikan dalam struktur pentadbiran yang sebelum ini lebih berpusat.
“Ini bukan perubahan kecil. Ia mencerminkan kepercayaan kerajaan pusat terhadap keupayaan pentadbiran negeri, sekali gus mempercepat pelaksanaan projek pembangunan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak dapat memainkan peranan secara matang dan konstrif bagi memastikan agenda pemerkasaan hak Sabah terus bergerak ke hadapan tanpa gangguan yang tidak perlu.

ZAKI SUSANTO