Oleh JOHN TAMBANAN
PAPAR: Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Papar digesa agar menerokai lebih banyak produk hiliran bagi membantu meningkatkan pendapatan ahlinya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifudin Pengiran Tahir Petra ketika membuat gesaan itu memberi contoh produk hiliran ikan perap yang dihasilkan usahawan daerah ini.
“PNK Papar perlu membangunkan lebih banyak produk hiliran seperti ikan leking dan sebagainya selain belacan yang telah membangun di Papar ketika ini,” katanya kepada media selepas merasmkkan mesyuarat agung tahunan kali ke-23 PNK Papar, di Dewan Datuk Salleh Sulong di sini.
Saifudin berkata, terdapat juga potensi sistem penangkapan ikan dalam sangkar yang belum diterokai selain tikun tiruan yang dilaksanakan kerajaan.
Selain itu katanya, potensi ikan hiasan yang belum diterokai di Papar mempunyai kaitan dengan industri nelayan untuk dikembangkan.
Sehubungan itu, beliau mengeshyorkan agar PNK Papar maju ke hadapan dan melihat potensi ini bagaimana memajukan hasil mahsul pendapatan nelayan pesisir pantai di Papar.
“Laut tidak pandai membesar…itu sahaja saiz dia. Berangkali hasil mahsul berkurangan. Jadi bagaimana kita maju ke hadapan menghasilkan hasil yang lebih baik,” katanya
Terdahulu dalam ucapannya, Saifudin yang juga Pengerusi SUDC menggesa nelayan pesisir pantai daerah ini yang belum menjadi ahli agar mendaftar dengan PNK Papar.
“Saya dimaklumkan terdapat kira-kira 600 nelayan yang aktif belum menjadi ahli PNK Papar. Jadi saya syorkan agar mereka tampil untuk memohon menjadi ahli persatuan.
“Di samping mendapat faedah-faedah daripada kerajaan misalnya subsidi, bantuan kewangan dan sebagainya, persatuan juga dapat memikirkan untuk maju ke hadapan dan memikirkan kebajikan ahli,” katanya.
Sempena majlis itu, PNK Papar turut menyampaikan Anugerah Anak Nelayan Cemerlang dan penyampaian zakat Nekmat kepada ahli nelayan.
Turut hadir Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Sabah, Mohd Jamil Abdullah; Pengerusi PNK Papar, Haji Aji Khamis Jat; Wakil Penguasa Pegawai Perikanan Sabah, Rajab Awang Sibil dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Pantai Manis, Haji Rahman Haji Latip.

ALBUM …. Saifudin (tengah) ditemani Mohd Jamil, Haji Aji Khamis, Rajab dan Haji Rahman bergambar kenangan bersama ahli lembaga pengarah dan ahli-ahli PNK Papar di majlis itu.







