Mohd Lin letak jawatan, keluar StarSabah bersama 78 Ahli Bahagian Usukan

KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti StarSabah, Mohd Lin Haji Harun, mengumumkan peletakan jawatan serta-merta daripada parti itu, sekali gus keluar daripada keanggotaannya.
Mohd Lin yang juga Ketua Bahagian StarSabah N.10 Usukan berkata, keputusan tersebut dibuat secara sukarela tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak.
Menurutnya, tindakan itu turut disertai oleh 78 ahli Bahagian Usukan, termasuk Naib Ketua Bahagian serta barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian.
“Surat peletakan jawatan saya telah dihantar kepada Setiausaha Agung parti, Senator Datuk Edward Linggu,” katanya ketika ditemui media.
Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada kepimpinan tertinggi parti, khususnya Presiden StarSabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, atas peluang dan bimbingan sepanjang penglibatannya.
“Saya mengucapkan terima kasih atas kepercayaan dan tunjuk ajar yang diberikan sepanjang saya bersama parti ini,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd Lin memaklumkan beliau belum membuat sebarang keputusan berhubung hala tuju politik seterusnya.
Tegasnya, komitmen untuk terus memperjuangkan kebajikan rakyat, khususnya di kawasan Usukan, akan kekal menjadi keutamaan beliau.

LETAK JAWATAN… Mohd Lin Haji Harun bersama sebahagian Ahli Jawatankuasa Bahagian StarSabah Usukan yang turut mengumumkan peletakan jawatan.