Oleh FARDY BUNGGA
PENAMPANG: Dua pemandu ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi Op Mabuk yang dijalankan di Jalan Penampang berhadapan SMK Bahang, di sini, awal pagi semalam.
Operasi yang dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu turut mengeluarkan sembilan saman atas pelbagai kesalahan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, seramai 52 individu dan sebanyak 41 kenderaan berjaya diperiksa sepanjang operasi berkenaan.
Katanya, dua lelaki ditahan mengikut Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu atas kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang telah ditetapkan.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dipenjara selama dua tahun dan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000 serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua Tahun.
“Sepanjang Op Mabuk ini, pihak polis turut mengeluarkan sembilan keping saman atas pelbagai kesalahan,”katanya dalam kenyataan.
Sammy berkata, empat saman yang dikeluarkan adalah atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu.
Sehubungan itu, Sammy berkata, operasi ini antara lainnya bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya.
Katanya, ia juga bagi memastikan pengguna jalan agar sentiasa patuh kepada undang-undang dan peraturan lalulintas yang ditetapkan.

UJIAN PERNAFASAN ….. Pemandu diarahkan menjalani ujian pernafasan bagi mengenalpasti kadar alkohol dalam badan.





