Tuntutan 40 peratus: Pendirian saya kekal – Ewon

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Ewon Benedick menegaskan pendiriannya berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah kekal tidak berubah.
Ewon, yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, berkata keputusan meletakkan jawatan daripada Kabinet Persekutuan sebelum ini dibuat kerana tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Sabah.
Menurutnya, rayuan pertama difailkan terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi, manakala rayuan kedua pula adalah bagi menangguhkan pelaksanaan keputusan tersebut, yang kemudiannya dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan.
“Keputusan membenarkan penangguhan itu telah menjejaskan keputusan awal Mahkamah Tinggi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025 dan Sanjungan Budi Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS), di sini, semalam.
Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor menegaskan kerajaan negeri tidak bersetuju dengan tindakan rayuan tersebut, namun tetap menghormati proses mahkamah.
Dalam masa sama, Ewon berkata Ketua Menteri mahu rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan diteruskan sehingga mencapai keputusan muktamad.
“Pada saya dan UPKO, pendirian kita tetap sama. Isu ini telah berlarutan hampir 40 tahun, dan biarlah rakyat Sabah menilai apabila tiba masanya,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan serta tindakan kerajaan Persekutuan mengemukakan dua rayuan perlu dinilai oleh rakyat, khususnya jika tuntutan 40 peratus itu masih belum dilaksanakan.
Ewon menegaskan, UPKO secara konsisten telah menyuarakan pendirian berhubung perkara itu di pelbagai platform termasuk mesyuarat Kabinet Persekutuan, Parlimen, Dewan Undangan Negeri serta Kabinet Kerajaan Sabah.
“Kita telah melaksanakan tanggungjawab dan akan terus konsisten menyatakan pendirian ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata sekiranya isu berkenaan tidak dimuktamadkan dan tiada pembayaran dibuat selepas pembubaran Dewan Rakyat, maka rakyat berhak menentukan kepimpinan negara.
“Jika sampai masanya 40 peratus itu belum dibayar, rakyatlah yang akan membuat keputusan,” tegasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa tuntutan “lost years” merupakan isu berasingan daripada pelaksanaan pembayaran masa hadapan.
Katanya, bagi tempoh akan datang seperti tahun 2027 dan seterusnya, kerajaan Persekutuan sepatutnya mampu merancang mekanisme agar 40 peratus hasil Sabah dikekalkan di negeri itu.
“Perkara ini tidak sukar untuk dimuktamadkan. Hal berkaitan Perlembagaan perlu diasingkan daripada dasar semasa kerajaan,” katanya.
Ewon berkata rakyat Sabah memahami hak mereka seperti termaktub dalam Perlembagaan dan ia perlu dibezakan daripada peruntukan pembangunan tahunan yang merupakan dasar semasa.
Sehubungan itu, katanya, UPKO akan terus bersama rakyat Sabah dalam memperjuangkan hak negeri berkenaan di bawah kepimpinan kerajaan negeri sedia ada.
“Kita akan teruskan perjuangan ini bersama rakyat Sabah untuk menuntut hak kita,” katanya.

RAMAH MESRA …. Ewon bersalaman dengan warga JKNS sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025 dan Sanjungan Budi JKNS, semalam.