Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Keputusan Mahkamah Rayuan Malaysia membenarkan kerajaan Persekutuan menangguhkan pembayaran 40 peratus hasil bersih kepada Sabah disifatkan sebagai satu tamparan besar terhadap aspirasi rakyat negeri itu.
Penyelidik Geopolitik dan Elektoral Sabah (GeoPES), Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad berkata, tuntutan berkenaan merupakan hak perlembagaan yang jelas termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, penangguhan itu bukan sahaja memberi tekanan kepada kedudukan kewangan negeri, malah berpotensi melambatkan pemulihan ekonomi Sabah yang memerlukan suntikan dana berskala besar bagi merapatkan jurang pembangunan.
“Bagi rakyat Sabah, setiap kelewatan membawa implikasi langsung terhadap usaha meningkatkan infrastruktur asas serta kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau menjelaskan, kegagalan menyalurkan dana tersebut boleh menjejaskan pelaksanaan projek kritikal termasuk naik taraf bekalan air, elektrik dan rangkaian jalan raya yang sekian lama menjadi isu berlarutan dalam kalangan penduduk.
Menurutnya, walaupun Sabah kaya dengan sumber alam, negeri itu masih berdepan kadar kemiskinan yang tinggi. Justeru, bayaran 40 peratus tersebut bukan sekadar angka, sebaliknya merupakan pemangkin utama kepada transformasi ekonomi dan pembangunan luar bandar.
Dalam masa sama, beliau menegaskan ketidaktentuan dari segi aliran kewangan akan menyukarkan kerajaan negeri merangka perancangan pembangunan jangka panjang yang mampan serta berdaya tahan.
Mengulas kesan sosial, Dr. Syahruddin berkata, kelewatan berterusan turut memberi tekanan kepada kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman yang masih kekurangan kemudahan pendidikan dan kesihatan.
Katanya, kesedaran rakyat Sabah terhadap hak mereka di bawah Perjanjian Malaysia 1963 semakin meningkat dan dijangka terus mendorong tuntutan terhadap ketelusan pelaksanaan.
“Ketidakpastian mengenai tempoh bayaran ini telah mencetuskan sentimen kekecewaan dalam kalangan rakyat, lebih-lebih lagi sumbangan hasil Sabah kepada negara adalah signifikan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keadilan kepada Sabah tidak wajar ditangguhkan atas alasan teknikal semata-mata.
“Kepentingan rakyat Sabah perlu diutamakan melebihi birokrasi bagi memastikan keharmonian Persekutuan terus terpelihara berasaskan prinsip perkongsian hasil yang adil,” katanya.
Bagaimanapun, beliau yakin kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri Sabah akan terus mencari penyelesaian pragmatik bagi melunaskan bayaran berkenaan.
“Penyelesaian segera amat penting bagi memastikan limpahan ekonomi dapat dirasai rakyat serta mempercepatkan agenda pembangunan mampan Sabah agar setanding dengan negeri-negeri lain,” katanya.

Dr. Syahruddin Awang




