KOTA KINABALU: Dalam era media sosial yang sering mengangkat populariti sebagai ukuran kejayaan, tiga anak muda dari Sabah memilih jalan berbeza dengan membawa misi memperkasa literasi awal kanak-kanak menerusi pendekatan fonik yang kreatif dan interaktif.
Frezerian Rayner Karim bersama dua rakannya, Reky Chee Hau Jun dan Allysha Bingkasan kini giat memperkenalkan kaedah Jolly Phonics bagi membantu kanak-kanak menguasai kemahiran membaca dalam suasana lebih menyeronokkan dan efektif.
Menurut Frezerian, pendidikan awal bukan sekadar memperkenalkan huruf dan bunyi, sebaliknya turut memainkan peranan penting dalam membina keyakinan diri, perkembangan emosi serta minat belajar dalam kalangan kanak-kanak.
“Bagi kami, mendidik bukan sekadar mengajar huruf dan bunyi, tetapi membina keyakinan, emosi dan minat belajar sejak usia muda,” katanya selepas sesi kelas bacaan di sini.
Frezerian dan Allysha mempunyai pengalaman dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, manakala Reky pula memiliki latar belakang dalam TESL (Teaching English as a Second Language).
Gabungan kepakaran dan pengalaman itu menjadi kekuatan utama mereka dalam memperkasa pendidikan fonik di Sabah, khususnya dalam membantu kanak-kanak menguasai kemahiran membaca bahasa Inggeris dengan lebih cepat dan berkesan.
Usaha mereka bermula secara kecil-kecilan melalui kelas bacaan berasaskan rumah (home-based reading), sebelum mendapat sambutan positif daripada ibu bapa yang melihat keberkesanan kaedah fonik terhadap perkembangan pembelajaran anak-anak.
Menurut mereka, antara cabaran utama ialah memperkenalkan konsep fonik kepada masyarakat yang masih kurang memahami kepentingannya dalam pendidikan awal.
Namun, pendekatan pembelajaran yang santai, kreatif dan interaktif berjaya menarik minat kanak-kanak untuk belajar membaca dengan lebih yakin dan bersemangat.
“Kejayaan sebenar bukanlah tentang seberapa terkenal seseorang itu, tetapi berapa ramai kehidupan yang mampu disentuh dan diubah melalui pendidikan,” kata Reky Chee.
Ketiga-tiga anak muda itu berharap usaha mereka dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai belia Sabah untuk tampil sebagai pendidik yang bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi turut memberi impak positif kepada masyarakat.
Mereka percaya perubahan besar dalam masyarakat bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak dan setiap usaha kecil hari ini mampu mencorakkan masa depan generasi akan datang.

Pilih misi literasi… Reky Chee Hau Jun, Allysha Bingkasan dan Frezerian Rayner Karim memperkenalkan kaedah fonik bagi membantu perkembangan literasi awal kanak-kanak di Sabah.





