Kg Asaon bukan kampung diwartakan

Mahasiswa disaran semak fakta terlebih dahulu

KOTA KINABALU: Dakwaan mengenai kewujudan Kg Asaon serta tindakan pihak yang mengaku sebagai Suara Mahasiswa UMS berhubung isu tanah kerajaan di Matunggong dilihat hanya mengeruhkan keadaan, sedangkan kawasan tersebut bukan sebuah kampung yang pernah diwartakan secara rasmi.
Timbalan Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Matunggong, Alexyus Matius berkata, beliau secara peribadi menyokong tindakan pihak berkuasa dalam menjalankan penguatkuasaan terhadap pondok-pondok yang dibina secara tidak sah di kawasan berkenaan bagi memastikan undang-undang serta peraturan tanah kerajaan terus dipatuhi.
“Sebagai anak watan Matunggong, saya merasakan menjadi tanggungjawab untuk tampil menjelaskan perkara ini berdasarkan fakta sebenar di lapangan.
“Ia bukan soal mempertahankan mana-mana pihak, sebaliknya memastikan masyarakat menerima maklumat yang tepat dan tidak terpengaruh dengan naratif yang mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kawasan berkenaan sememangnya telah lama diketahui sebagai tanah kerajaan yang diperuntukkan bagi tujuan pembangunan Matunggong pada masa hadapan dan bukannya kawasan penempatan kampung yang sah.
Katanya, penduduk di kampung berhampiran seperti Kg Tuid, Kg Hobut dan Kg Sumangkap amat memahami sejarah serta status sebenar tanah tersebut.
“Mereka sedia maklum bahawa kawasan itu merupakan milik kerajaan dan bukannya tanah adat persendirian seperti yang cuba digambarkan oleh pihak tertentu,” katanya.
Alexyus berkata, isu berkenaan tidak akan menjadi semakin tegang sekiranya tiada campur tangan pihak luar yang tidak memahami latar belakang serta fakta sebenar berkaitan kawasan tersebut.
Beliau turut mengambil maklum mengenai penglibatan pihak yang dikatakan terdiri daripada mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam isu itu.
“Sekiranya benar mereka merupakan mahasiswa, saya berpendapat golongan intelektual seperti mahasiswa perlu mendapatkan fakta yang tepat terlebih dahulu serta merujuk kepada pihak berwajib sebelum membuat sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh mengelirukan masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, mahasiswa seharusnya memainkan peranan sebagai penyampai maklumat yang berasaskan fakta, profesional dan bertanggungjawab, bukannya mudah terpengaruh dengan naratif pihak tertentu tanpa memahami sejarah serta kedudukan sebenar sesuatu isu.
Mengulas kenyataan yang cuba mengaitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki dalam isu tersebut, Alexyus berpandangan wakil rakyat kawasan itu sudah tentu memahami sejarah, status dan kedudukan sebenar tanah berkenaan.
“Sebagai pemimpin kawasan, beliau pastinya lebih arif mengenai perancangan pembangunan serta proses pentadbiran tanah di Matunggong berbanding pihak luar yang hanya melihat isu ini dari sudut tertentu tanpa memahami keseluruhan fakta,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar semua pihak tidak terus membuat tuduhan atau memainkan sentimen tertentu bagi tujuan politik dan provokasi sehingga boleh mengelirukan masyarakat setempat serta menjejaskan keharmonian kawasan.
“Saya juga berharap semua pihak menghentikan penyebaran fitnah, provokasi dan kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat setempat.
“Hormatilah proses undang-undang serta tindakan pihak berkuasa demi menjaga kepentingan pembangunan dan kestabilan kawasan Matunggong pada masa hadapan,” katanya.-Oleh JOHN TAMBANAN

Alexyus Matius