Empat individu positif dadah ditahan

Oleh FARDY BUNGGA


PENAMPANG: Empat individu ditahan selepas didapati positif dadah dalam operasi pemeriksaan yang dilaksanakan di dua premis pusat hiburan, awal pagi semalam.
Dalam operasi Op Pusat Hiburan itu, semua individu ditahan merupakan warga tempatan berusia lingkungan 19 hingga 30 tahun. 
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, operasi yang menumpukan pusat hiburan sekitar daerah Penampang itu bertujuan untuk membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah.
Katanya, ia juga sekaligus memastikan semua pusat hiburan yang beroperasi di daerah Penampang mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
“Sepanjang operasi dijalankan, seramai 28 individu diperiksa sebelum empat daripadanya didapati positif dadah jenis methamphetamine (METH) dan tetrahydrocannabinol (THC).
“Semua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan sendiri,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Sammy berkata, operasi seumpama ini akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa sebagai langkah proaktif membanteras sebarang aktiviti jenayah.
Katanya, masyarakat agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dan penyalahgunaan dadah bagi bersama-sama membantu pihak polis menjaga keselamatan serta kesejahteraan komuniti.

PERIKSA …. Seramai 28 individu ditahan untuk pemeriksaan.