KOTA BELUD: Semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap masyarakat kembali dizahirkan oleh Mohd Lin Hj Harun, tokoh politik yang baharu sahaja kembali menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS).
Dalam satu majlis ringkas di Kampung Lebek Engad, Kota Belud, beliau menyampaikan sumbangan peribadi berbentuk zink kepada penduduk setempat, khususnya kepada Rusbi Berahim.
Bagaimanapun, ia bukan suatu hal yang baharu bagi Mohd Lin kerana sebelum ini pun beliau sentiasa komited membantu masyarakat atas kapasiti peribadi mahupun sebagai pemimpin akar umbi.
Penyampaian bantuan ini turut disertai oleh beberapa ahli PBS baharu yang bersama-sama menunjukkan komitmen mereka terhadap perjuangan parti dan kebajikan masyarakat.
Mohd Lin menegaskan bahawa perjuangan politik tidak hanya terletak pada pentas besar, tetapi juga pada usaha kecil yang memberi makna kepada rakyat di akar umbi.
Kehadiran beliau bersama ahli-ahli baharu PBS di majlis itu menjadi simbol penyatuan semula dan semangat gotong-royong yang menjadi asas perjuangan parti.
Langkah ini dilihat sebagai kesinambungan kepada imej beliau sebagai seorang pemimpin yang dekat dengan rakyat, sekaligus memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap PBS sebagai wadah perjuangan politik tempatan.

PRIHATIN… Mohd Lin menyerahkan sumbangan atap zink kepada Rusbi.





