KOTA KINABALU: Di sebalik gemerlap pentas pertandingan bahasa antarabangsa dan sorakan penonton, terselit sebuah kisah persahabatan dan kasih sayang yang menyentuh hati.
Christina Tay Mei Yun bukan sekadar hadir sebagai penjaga kepada seorang peserta pertandingan, tetapi tampil menyambung kasih seorang sahabat yang telah pergi buat selama-lamanya.
Beliau setia mengiringi perjalanan Gerdaline Amaris ke pentas akhir The 6th ‘Chinese Bridge’ World Chinese Show for Primary School Students – Malaysia Division 2026, menggantikan tempat sahabat akrabnya sejak zaman tadika hingga sekolah menengah, mendiang Adela Marie Paul Ukau.
Bagi Gerdaline, pentas tahun ini membawa makna yang cukup berbeza. Jika tahun lalu beliau hadir bersama ibu dan keluarga yang menjadi tulang belakang kekuatannya, kali ini anak kecil itu melangkah tanpa pelukan serta sorakan seorang ibu di sisi.
Namun, kehilangan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berdiri dan bersinar.
Sebaliknya, Christina hadir mengisi kekosongan tersebut — menemani sesi latihan, menghantar dan menjemput Gerdaline pulang ke rumah sewanya, seolah-olah meneruskan ikatan persahabatan yang tidak pernah terputus walaupun dipisahkan takdir.
Turut hadir memberikan sokongan ialah nenek Gerdaline, Rosemary Gitang, yang tidak dapat menahan sebak ketika menzahirkan penghargaan kepada Christina Tay, guru pembimbing Teacher Sasa, Vanessa Ng, Chong Li Keem serta semua individu yang membantu perjalanan cucunya.
“Tanpa kamu, siapalah Gerdaline yang kini sudah piatu,” katanya dalam nada penuh emosi.
Dalam pada itu, pertandingan berprestij anjuran Confucius Institute at Universiti Malaysia Sabah itu menyaksikan seramai 20 murid sekolah rendah dari seluruh negara dipilih sebagai finalis.
Program yang berlangsung di Galeri Majlis, Bangunan Canselori Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkenaan menghimpunkan peserta daripada pelbagai sekolah Cina di seluruh negara, sekali gus mencerminkan perkembangan positif penguasaan bahasa Mandarin dalam kalangan generasi muda.
Selain menguji kemahiran bahasa Mandarin menerusi Chinese Language Skills Test & Showcase serta Fun Chinese Test, para peserta turut dinilai melalui ucapan bertemakan ‘Joyful Chinese’ dan persembahan bakat budaya seperti nyanyian, tarian, kaligrafi, lukisan serta seni mempertahankan diri.
Persaingan menjadi lebih sengit apabila hanya lima peserta terbaik dipilih mara ke pusingan akhir Impromptu Speech Round, dengan topik ucapan diberikan hanya 15 minit sebelum peserta tampil di pentas.
Lebih membanggakan, pencapaian Gerdaline kali ini dilihat lebih baik berbanding penyertaannya tahun lalu — seakan membuktikan bahawa kasih sayang, doa dan sokongan insan sekeliling mampu menjadi sayap yang mengangkat seorang anak terus terbang tinggi.
Kadangkala Tuhan tidak menghilangkan kasih, tetapi mengirimkannya melalui hati orang lain. Di pentas kecil itu, persahabatan lama kembali hidup dalam bentuk paling indah — menjaga anak sahabat seperti darah daging sendiri.-Oleh John Tambanan.

MEMBANGGAKAN …. Guru pembimbing dari SJK (C) St James Kota Kinabalu bersama Gerdaline menunjukkan sijil dan hadiah yang diperoleh hasil kerja keras serta kegigihan mereka bersama.







