KENINGAU: Pengarah Urusan AMC Academy, Faridah Alexius Muri Gulim Adau, terus mengorak langkah memperkukuh agenda pembangunan pendidikan dan masyarakat luar bandar apabila dilantik sebagai salah seorang Panel Pentauliahan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS) dan Institut Latihan Teknikal & Perdagangan, Jabatan Pembangunan Sumber Manusia Sabah (ILTPJPSM).
Faridah yang berasal dari Kampung Baru Bingkor berkata, beliau amat menghargai kepercayaan yang diberikan untuk menyumbang dalam usaha memperkasa pendidikan teknikal dan latihan kemahiran negara.
“Terima kasih kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) kerana memilih saya sebagai salah seorang Panel Pentauliahan di Kolej Teknikal Yayasan Sabah dan Institut Latihan Teknikal & Perdagangan, Jabatan Pembangunan Sumber Manusia Sabah.
“Saya amat menghargai kepercayaan dan peluang yang diberikan untuk menyumbang dalam memperkasa pendidikan serta latihan kemahiran negara,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau yang dikenali sebagai tokoh masyarakat, usahawan serta suara baharu yang aktif memperjuangkan pembangunan luar bandar turut menegaskan bahawa pendidikan dan kemahiran teknikal menjadi antara kunci utama meningkatkan taraf hidup generasi muda di kawasan pedalaman Sabah.
Menurutnya, pendekatan TVET perlu diperluaskan secara lebih agresif agar anak muda luar bandar tidak tercicir dalam arus pembangunan semasa.
Selain aktif dalam bidang pendidikan, Faridah juga dikenali melalui penglibatannya dalam pelbagai program komuniti akar umbi termasuk usaha meningkatkan kesejahteraan dan infrastruktur penduduk setempat.
Beliau sebelum ini turut tampil dalam program bual bicara khas atau podcast berkaitan wacana warisan bagi membincangkan sejarah dan legasi penting termasuk Batu Sumpah Keningau — satu pendekatan yang dilihat membantu generasi muda memahami identiti dan sejarah Sabah.
Dalam sektor pembangunan belia pula, Faridah merupakan penyokong kuat program pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta pembangunan produk pelancongan kreatif yang mampu membuka peluang ekonomi kepada anak muda pedalaman.
Terbaharu, beliau turut menggerakkan program bantuan perumahan menerusi kerjasama bersama agensi seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan membawa pegawai kerajaan turun terus ke kawasan luar bandar bagi membantu rakyat mendapatkan akses kepada program perumahan.
Pemerhati masyarakat melihat penglibatan aktif Faridah dalam pendidikan, pembangunan komuniti dan agenda luar bandar sebagai antara contoh kepimpinan generasi baharu yang semakin dekat dengan denyut nadi rakyat pedalaman.
Di sebalik dunia pendidikan dan pembangunan yang sering dilihat teknikal, Faridah percaya perubahan besar sebenarnya bermula daripada keberanian mendengar suara masyarakat kecil di kampung-kampung yang jauh dari pusat bandar.-Oleh John Tambanan.

Foto – Faridah Alexius







