Gegaran gempa bumi Mindanao dirasai hingga Tawau, Semporna

KOTA KINABALU: Gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang melanda Mindanao, Filipina pagi kelmarin turut menyebabkan gegaran dirasai di beberapa kawasan di pantai timur Sabah termasuk Tawau dan Semporna.
Dalam kejadian jam 7.37 pagi itu, gempa bumi berkenaan dikesan berlaku pada koordinat 5.7 darjah utara dan 125.1 darjah timur, kira-kira 97 kilometer (km) di selatan Koronadal City, Filipina dengan kedalaman 50 km.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memaklumkan, pihaknya sedang memantau perkembangan susulan kejadian berkenaan.
Menurutnya, gegaran akibat gempa bumi itu dilaporkan dirasai penduduk di Tawau, Semporna dan beberapa kawasan sekitarnya.
“MET Malaysia sedang memantau perkembangan kejadian ini dan akan mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa sekiranya terdapat perkembangan baharu,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, orang ramai yang merasai gegaran diminta mengisi borang soal selidik yang disediakan MET Malaysia bagi membantu proses pengumpulan maklumat dan penilaian kesan gempa bumi.
Terdahulu, beberapa pengguna media sosial di Tawau dan Semporna berkongsi pengalaman merasai gegaran selama beberapa saat sehingga menyebabkan perabot dan barangan di dalam rumah bergegar.
Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mengesahkan tiada sebarang kesan tsunami, kerosakan struktur atau kejadian luar biasa dikesan di kawasan pantai timur Sabah susulan gempa bumi bermagnitud 7.9 yang melanda Mindanao, Filipina, pagi kelmarin.
Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah berkata, pemantauan telah dijalankan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu susulan nasihat tsunami yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
Katanya, pemantauan tertumpu di kawasan pesisir pantai, penempatan penduduk serta lokasi berisiko di daerah yang berpotensi menerima kesan daripada fenomena tersebut.
“Hasil pemantauan yang dijalankan setakat ini mendapati tiada sebarang kerosakan struktur, kejadian luar biasa, peningkatan paras air laut yang membahayakan atau insiden kecemasan dilaporkan di kawasan terlibat.
“Keadaan semasa adalah terkawal dan selamat,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Terdahulu, MET Malaysia mengeluarkan nasihat tsunami susulan gempa bumi bermagnitud 7.9 yang berlaku di Mindanao pada jam 7.37 pagi dan menjangkakan ombak tsunami boleh melanda kawasan pantai Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Susulan amaran itu, pasukan bomba di empat daerah terbabit digerakkan bagi menjalankan pemantauan serta memastikan keselamatan penduduk sentiasa berada pada tahap terbaik.
JBPM Sabah turut memaklumkan bahawa pasukannya akan terus melaksanakan pemantauan secara berterusan dan berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Katanya, sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa berdasarkan maklumat yang diperoleh di lapangan dan arahan pihak berkuasa berkaitan.

GEMPA …. Lokasi gempa bumi bermagnitud 7.9 yang melanda Selatan Mindanao, Filipina, semalam.

PANTAU: Pasukan bomba dan pasukan keselamatan lain menjalankan pemeriksaan di kawasan sekitar pesisir pantai.