Oleh WU VUIDE
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pengisytiharan Rizab Biosfera Kinabatangan, yang merupakan rizab biosfera kedua di Sabah selepas Rizab Biosfera Banjaran Crocker, menandakan detik bersejarah dan satu pencapaian membanggakan bagi Sabah serta Malaysia.
Beliau berkata, pengiktirafan oleh UNESCO tahun lalu membuktikan landskap Kinabatangan yang meliputi kira-kira 413,866 hektar mempunyai nilai biodiversiti dan kepentingan ekologi yang luar biasa di peringkat antarabangsa.
“Ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan negeri untuk memelihara kelestarian alam sekitar dan biodiversiti di pentas global.
“Dengan status bertaraf dunia ini, Rizab Biosfera Kinabatangan dijangka menarik perhatian antarabangsa dalam bidang penyelidikan, pendidikan, pelancongan berasaskan alam semula jadi serta peluang kerjasama global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-12 Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan Majlis Pengisytiharan Rizab Biosfera Kinabatangan di Padang Merdeka, di sini.
Hajiji berkata, Rizab Biosfera Banjaran Crocker yang meliputi kawasan seluas 350,584 hektar dan diisytiharkan pada tahun 2014 mempunyai nilai yang amat penting kepada Sabah.
Menurutnya, lebih sejuta penduduk dianggarkan tinggal di hampir 400 kampung yang merangkumi 10 daerah dalam kawasan Rizab Biosfera Banjaran Crocker iaitu Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Ranau, Tambunan, Keningau, Tenom, Beaufort, Papar dan Membakut.
Katanya, pengiktirafan Rizab Biosfera Banjaran Crocker turut menyumbang kepada pencapaian Sabah sebagai lokasi UNESCO Triple Crown Sites.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak berkepentingan agar terus memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti, memperluaskan program kesedaran masyarakat serta meningkatkan kerjasama strategik bagi memastikan manfaat pengiktirafan tersebut dapat dinikmati secara meluas dan mampan.
“Ini selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk melindungi dan memulihara alam semula jadi kerana fungsi ekosistem amat penting kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan sosioekonomi.
“Kewujudan kedua-dua rizab biosfera ini juga berkait rapat dengan usaha kerajaan Sabah merealisasikan inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ). Tahun ini, pemuliharaan ekosistem penting Sabah diteruskan menerusi SMJ 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030,” katanya.
Hajiji berkata, Sabah kini berada di barisan hadapan dalam usaha perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar.
“Sejak sekian lama, Sabah melindungi hutan, hidupan liar dan antara ekosistem terkaya di rantau ini. Ketika ini, hampir 30 peratus keluasan tanah Sabah telah diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA).
“Kami bertekad untuk terus memperkukuh peranan Sabah sebagai penyerap karbon, termasuk menerusi Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan Rizab Biosfera Kinabatangan.
“Sabah kekal sebagai penyerap karbon bersih utama dengan menyumbang kira-kira 36 peratus daripada jumlah penyerapan karbon Malaysia melalui hutan tropika yang luas.
“Mesej utama yang perlu difahami ialah rizab biosfera menyokong kestabilan iklim, khususnya melalui fungsinya sebagai penyerap karbon,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua rizab biosfera itu merupakan kawasan istimewa yang melindungi alam semula jadi sambil memastikan aktiviti manusia diurus secara mampan.
“Rizab Biosfera Banjaran Crocker melindungi ekosistem pergunungan dan hutan bagi memulihara flora serta fauna unik di samping menyokong fungsi kawasan tadahan air.
“Sementara itu, Rizab Biosfera Kinabatangan memberi tumpuan kepada ekosistem sungai dan tanah lembap yang menjadi habitat penting hidupan liar serta berperanan mengekalkan sistem air yang sihat.
“Apabila hutan dilindungi dan dibiarkan pulih secara semula jadi, ia akan terus menyimpan karbon untuk jangka panjang,” katanya.
Menurut Hajiji, rizab biosfera turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekonomi tempatan kerana usaha pemuliharaan akan lebih berkesan apabila masyarakat menerima manfaat daripada perlindungan alam sekitar.
“Di Banjaran Crocker dan Kinabatangan, komuniti setempat boleh memperoleh manfaat melalui pelancongan mampan termasuk program inap desa dan perusahaan berasaskan komuniti.
“Peluang ekonomi jangka panjang ini menggalakkan masyarakat terus memelihara hutan dan hidupan liar kerana alam sekitar menjadi sumber pendapatan yang stabil, bukannya untuk keuntungan jangka pendek,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pengiktirafan kedua-dua rizab biosfera itu perlu diterjemahkan kepada manfaat dan limpahan ekonomi yang dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat yang tinggal dalam kawasan berkenaan.

Hajiji melakukan gimik simbolik sempena pengisytiharan Rizab Biosfera Kinabatangan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.



