Kejayaan akademik kunci mengubah kehidupan – Victor

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Kejayaan akademik tidak ditentukan oleh latar belakang keluarga, sebaliknya bergantung kepada sikap, usaha gigih, disiplin serta komitmen seseorang, kata Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan, Datuk Victor Peter Paut.
Berucap pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Daerah Tambunan 2025 di Dewan Masyarakat Tambunan pada Sabtu, beliau berkata keazaman semata-mata tidak mencukupi tanpa usaha dan dedikasi yang berterusan.
“Pendidikan adalah kunci untuk mengubah kehidupan, meningkatkan taraf hidup keluarga dan membangunkan masyarakat.
“Majlis hari ini bukan sekadar penyampaian anugerah, tetapi sebagai pengiktirafan terhadap kerja keras dan pencapaian cemerlang para pelajar,” katanya dalam satu kenyataan.
Victor menegaskan bahawa pelaburan dalam pendidikan merupakan pelaburan terbaik untuk masa depan.
“Bangunan dan infrastruktur boleh dibangunkan, namun modal insan yang berkualiti kekal sebagai aset paling berharga kepada negeri dan negara.
“Pelajar yang diraikan hari ini merupakan bakal doktor, jurutera, guru, saintis, usahawan dan pemimpin masa depan Sabah,” katanya.
Beliau, yang juga Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd, turut menggalakkan pelajar luar bandar agar tidak membiarkan latar belakang mereka menjadi penghalang untuk mencapai cita-cita.
“Anak-anak luar bandar mempunyai potensi dan kemampuan yang sama untuk berjaya serta bersaing di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Pada masa sama, Victor merakamkan penghargaan kepada ibu bapa dan guru atas peranan penting mereka dalam membentuk kejayaan pelajar.
“Pengorbanan ibu bapa dan dedikasi guru amat bernilai. Di sebalik setiap pelajar yang berjaya, terdapat keluarga dan guru yang sentiasa memberikan sokongan serta bimbingan.
“Gunakan ilmu yang diperoleh untuk membantu keluarga, menyumbang kepada komuniti dan berkhidmat kepada Sabah. Apabila berjaya kelak, jangan lupakan kampung halaman, sekolah, guru serta masyarakat yang telah menyokong anda sepanjang perjalanan ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen PGRS untuk terus menyokong pembangunan pendidikan dan belia, sambil menekankan bahawa masa depan Sabah bergantung kepada lahirnya generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Tambunan, Johari Awang Damit; Timbalan Ketua Bahagian PGRS Tambunan, Yassin Yunus; Ketua Wanita PGRS Tambunan, Datuk Amelia Ajun; Ketua Pergerakan Beliawanis PGRS Tambunan, Vianney Evana; Ahli Jawatankuasa PGRS Bahagian Tambunan; pengetua SMK Tambunan dan SMK St. Martin; guru-guru kedua-dua sekolah serta ibu bapa pelajar yang terlibat.

PENGHARGAAN …. Victor (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pelajar cemerlang.