KENINGAU: Pengurusan Kolam Legenda Aki-Aki (KLAA) menghulurkan sumbangan kepada pelajar Tingkatan Lima dan bakal penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dari Kg Bingkor Lama serta Kg Tamui sebagai usaha membantu meringankan persiapan mereka menempuh fasa penting dalam pengajian, di samping menyuntik semangat untuk terus mengejar kecemerlangan akademik.
Inisiatif itu disambut baik oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Bingkor Lama dan Kg Tamui yang menyifatkannya sebagai manifestasi tanggungjawab sosial serta keprihatinan terhadap pembangunan modal insan di kawasan luar bandar.
Pengerusi JKKK Kg Bingkor Lama, Nillson Narussin, berkata sumbangan berkenaan bukan sahaja membantu daripada aspek kewangan, malah menjadi pembakar semangat kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dan merealisasikan impian melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Sokongan seperti ini memberi mesej jelas bahawa masyarakat sentiasa berdiri di belakang anak-anak yang berusaha membina masa depan melalui pendidikan. Kejayaan mereka kelak merupakan kebanggaan seluruh kampung,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Pengurusan KLAA atas keprihatinan serta kesediaan berkongsi rezeki demi manfaat generasi muda.
Menurutnya, pembangunan sesebuah komuniti tidak hanya diukur melalui kemajuan fizikal, sebaliknya turut bergantung kepada sejauh mana masyarakat menghargai dan melabur dalam pendidikan anak-anak sebagai aset paling bernilai untuk masa depan.
Keprihatinan terhadap pendidikan mencerminkan semangat kebersamaan dalam membina masa depan yang lebih baik.
Apabila masyarakat berganding bahu menyokong usaha generasi muda menimba ilmu, setiap kejayaan yang dicapai bukan sekadar mengubah kehidupan individu, malah menjadi kebanggaan dan warisan yang mengangkat martabat seluruh komuniti.-John Tambanan.

Nilson






