Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah akan meneruskan operasi bersepadu bagi membanteras aktiviti penyambungan haram bekalan air dan elektrik di beberapa kawasan penempatan setinggan di negeri ini.
Ia adalah sebahagian daripada usaha pihak berkuasa dalam menangani masalah ketirisan utiliti dan pelanggaran undang-undang.
Pesuruhjaya Polis Sabah berkata, operasi yang dilaksanakan bersama Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) serta agensi berkaitan, termasuk pihak bekalan elektrik itu telah bermula pada 15 Julai lalu.
Katanya, sepanjang operasi berkenaan, pihak berkuasa berjaya memutuskan banyak sambungan bekalan air yang didapati dibuat secara haram.
“Operasi ini akan dijalankan setiap hari. Sambungan haram yang dipotong hari ini akan dipantau semula keesokan harinya. Jika didapati disambung semula secara haram, tindakan pemotongan akan dilakukan sekali lagi.
“Setakat ini, empat individu berjaya ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyambungan haram tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sabah yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, pada Khamis.
Jauteh berkata, semua mereka telah diserahkan kepada JANS untuk siasatan lanjut dan tindakan undang-undang mengikut peruntukan undang-undang berkaitan bekalan air.
Katanya, operasi ketika ini tertumpu di kawasan Alam Mesra hingga Tuaran, namun tindakan penguatkuasaan akan diperluaskan secara berperingkat ke kawasan lain yang dikenal pasti mempunyai aktiviti penyambungan haram.
“Mereka ini terdiri daripada warga tempatan dan pemegang pas lawatan IMM13, selain individu yang dipercayai memiliki beberapa rumah sewa di penempatan setinggan berkenaan.
“PDRM akan terus membantu Kerajaan Negeri Sabah dalam memastikan isu ketirisan bekalan air dapat diatasi, di samping membanteras kegiatan penyambungan utiliti secara haram yang memberi kesan kepada hasil kerajaan dan bekalan kepada pengguna yang sah,” katanya.
Operasi bersepadu itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang serta mengurangkan kerugian akibat penyambungan utiliti secara haram di Sabah.

SIDANG MEDIA ….. Jauteh pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan IPK Sabah.






