Sekolah Advent Sungoi bangunkan potensi murid, Dextra pecah rekod peribadi di MSSS Sabah

KOTA MARUDU: Kejayaan sebenar dalam pendidikan bukan hanya diukur melalui pingat yang dimenangi, tetapi melalui keberanian murid mencabar kemampuan diri dan terus meningkatkan prestasi.
Prinsip itu terus diterjemahkan oleh Sekolah Rendah Advent Sungoi apabila atletnya, Dextra Eldora Fiorenza Masius, berjaya memecahkan rekod peribadinya ketika mewakili Kontinjen Kota Marudu dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSSS) Ranau 2026.
Walaupun belum berjaya membawa pulang pingat dalam acara lontar peluru, pencapaian Dextra mencatat rekod peribadi baharu disifatkan pihak sekolah sebagai satu kejayaan yang membanggakan kerana membuktikan hasil latihan yang konsisten, disiplin tinggi dan semangat juang yang tidak pernah luntur.
Pihak sekolah berkata, kejayaan melayakkan diri hingga ke pentas MSSS Sabah merupakan satu pencapaian besar yang bukan sahaja mengharumkan nama Sekolah Rendah Advent Sungoi, malah membuktikan kemampuan murid luar bandar untuk bersaing secara kompetitif di peringkat negeri.
Menurut pihak sekolah, penyertaan dalam kejohanan sukan bukan sekadar memburu kemenangan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada falsafah pendidikan Advent yang menitikberatkan pembangunan insan secara menyeluruh merangkumi kecemerlangan akademik, pembentukan sahsiah, kesihatan fizikal, ketahanan mental serta nilai kepimpinan.
Sehubungan itu, setiap peningkatan prestasi murid, termasuk kejayaan mengatasi rekod sendiri, merupakan petunjuk penting kepada proses pembelajaran yang berterusan dan menjadi asas untuk melahirkan individu yang lebih yakin, berdisiplin serta berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa depan.
Pihak sekolah turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada jurulatih dan ibu bapa atas segala bimbingan, pengorbanan serta sokongan yang tidak pernah berbelah bahagi sepanjang tempoh latihan dan pertandingan. Kejayaan yang dicapai merupakan hasil kerjasama erat semua pihak dalam membimbing bakat murid hingga ke peringkat tertinggi.
Sekolah Rendah Advent Sungoi berharap pengalaman beraksi di pentas MSSS Sabah akan menjadi pemangkin kepada Dextra untuk terus meningkatkan prestasi, sekali gus menjadi inspirasi kepada murid lain bahawa kejayaan bukan hanya milik mereka yang bergelar juara, tetapi juga milik mereka yang berani mencabar batas kemampuan sendiri dan tidak pernah berhenti berusaha.-John Tambanan.

Foto – Dextra Eldora