KOTA KINABALU: Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk aplikasi seperti Gemini AI, membawa perubahan ketara dalam bidang pendidikan, khususnya dalam pencarian maklumat dan penyediaan bahan pembelajaran.
Seiring perkembangan itu, kemahiran literasi digital dalam kalangan pendidik perlu diperkukuh bagi memastikan teknologi AI dimanfaatkan secara beretika, selamat dan bertanggungjawab.
Sehubungan itu, Universiti Terbuka (UT) menerusi kerjasama pasukan rentas fakulti Fakulti Undang-Undang, Sains Sosial dan Sains Politik (FHISIP) serta Fakulti Pendidikan (FKIP), bersama mahasiswa UT Tarakan, menganjurkan Program Pengabdian kepada Masyarakat (PkM) Antarabangsa di Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK), Sabtu lalu.
Program yang bertujuan meningkatkan literasi digital guru dalam menghadapi era AI itu membabitkan 55 guru dari SIKK dan Community Learning Center (CLC) di Kota Kinabalu.
Pengetua SIKK, Sahyuddin, S.Pd., M.A., TESOL, berkata kerjasama UT dan SIKK melalui program PkM itu memasuki tahun ketiga dan memberikan manfaat kepada warga pendidik.
“Program ini sangat membantu, khususnya kerana bahan berkaitan penggunaan AI dan teknologi media amat relevan dengan keperluan guru,” katanya.
Wakil pasukan PkM Antarabangsa UT, Dr Kadarisman, S.E., M.Pd., turut merakamkan penghargaan kepada SIKK dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) atas kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.
Program itu turut menampilkan penceramah antarabangsa dari UMS, Dr Nur Farha Shaafi, yang membentangkan topik berkaitan penggunaan komik pendidikan bagi meningkatkan kefahaman pelajar mengenai aspek keselamatan di makmal sekolah.
Sementara itu, pensyarah FHISIP UT, Rosiana Nurwa Indah, S.Hum., M.Si. dan Sekartaji Anisa Putri, M.Si., menyampaikan topik “Misinformation in the Era of Generative AI: Optimizing the Media Literacy Skills of Sekolah Indonesia Kota Kinabalu High School Teachers in Sabah-Malaysia”.
Sesi berkenaan memberi tumpuan kepada pengukuhan literasi media dalam era AI melalui pendekatan Empowering 8, amalan kebersihan digital (digital hygiene) serta penerapan etika dalam penyediaan bahan pembelajaran berasaskan AI.
Menerusi latihan dan bimbingan yang diberikan, guru SIKK dan CLC Kinabalu turut menyertai aktiviti “Projek Literasi Digital: Bahan Pembelajaran Berasaskan AI”, dengan menghasilkan bahan pembelajaran dan ilustrasi menggunakan ciri Gemini AI berdasarkan sumber yang sahih.
Guru SIKK, Rosita Tarukliling, berkata program itu amat bermanfaat dan berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang.
Program berkenaan diakhiri dengan pameran hasil projek terbaik peserta yang mengetengahkan bahan pembelajaran berasaskan Gemini AI, dengan penekanan terhadap penggunaan sumber yang kredibel serta pematuhan etika AI.
Pasukan PkM Antarabangsa FHISIP UT turut menyumbangkan peranti pembelajaran digital dan buku rujukan bagi menyokong keperluan guru serta pelajar di SIKK dan CLC Kinabalu.
Program itu turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 berkaitan pendidikan berkualiti, SDG 16 mengenai keamanan, keadilan dan institusi yang kukuh, serta SDG 10 bagi mengurangkan ketidaksamaan.
Inisiatif berkenaan diharap dapat meningkatkan keupayaan guru menggunakan AI secara beretika dan berkesan, selain memperkukuh akses kepada kemahiran digital dalam kalangan guru dan pelajar migran Indonesia di Kota Kinabalu.

1: Pameran hasil projek dan penyerahan sumbangan PkM Antarabangsa UT kepada SIKK.

2: Pasukan PkM Antarabangsa UT bergambar bersama warga Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK).





