PAPAR: Pembangunan bukan hanya tertumpu kepada pembinaan jalan raya, jambatan dan kemudahan awam, sebaliknya turut merangkumi aspek kesejahteraan serta kualiti hidup masyarakat.
Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Juil Nuatim, berkata pembangunan sebenar perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira keperluan masyarakat.
“Pembangunan sebenarnya ialah pembinaan masyarakat. Masyarakat perlu hidup dalam keadaan aman, saling membantu, mempunyai akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan, peluang ekonomi serta menikmati kehidupan yang baik.
“Pembangunan yang berkesan bermula dengan komunikasi yang terbuka, saling menghormati dan saling memahami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 di Kampung Tanaki, di sini, pada Sabtu.
Menurut Juil, program turun padang seperti KMJG turut menjadi platform untuk mendekatkan kerajaan dengan rakyat menerusi penyampaian maklumat yang tepat mengenai dasar kerajaan, selain memberi ruang kepada masyarakat menyuarakan pandangan dan keperluan mereka.
Katanya, kerjasama antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan agensi pelaksana amat penting bagi memastikan setiap usaha pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan serta memberi manfaat kepada rakyat.
Dalam pada itu, Juil menyeru penduduk Kampung Tanaki supaya terus mengamalkan budaya gotong-royong bagi mengeratkan hubungan dan memperkukuh perpaduan dalam komuniti.
“Perpaduan perlu bermula daripada keluarga, jiran dan komuniti setempat bagi membentuk masyarakat yang kukuh, aman dan stabil.
“Gotong-royong bukan sekadar aktiviti, tetapi menjadi ruang untuk menyatukan penduduk kampung, selain mengelakkan perpecahan dan perselisihan faham,” katanya.
Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya menjadi pengguna maklumat yang bijak dengan mendapatkan maklumat daripada sumber sahih serta mengelakkan penyebaran berita palsu yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor; Penolong Pegawai Daerah Kanan, Audery Isabella Noikin; dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Limbahau, Ana Maria Bernadus.

KENANGAN …. Para tetamu bergambar kenangan bersama penduduk Kampung Tanaki.





