KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mahu aktiviti memancing dibangunkan sebagai produk niche pelancongan sukan bagi menarik lebih ramai pelancong dan pemancing antarabangsa ke negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata Sabah International Fishing Tournament (SIFT) mempunyai potensi besar untuk menjadi platform mempromosikan Sabah sebagai destinasi sukan memancing bertaraf antarabangsa.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah SIFT 2026 di sebuah hotel, di sini.
Turut hadir Setiausaha Persatuan Pemancing Sabah (SAA) merangkap Pengerusi Penganjur SIFT 2026, Christy Justinus, ahli jawatankuasa penganjur, penaja, rakan strategik dan peserta.
“SIFT bukan sekadar pertandingan memancing. Kita mahu menggunakan platform ini untuk memperkenalkan Sabah kepada dunia sebagai destinasi pelancongan sukan, khususnya memancing.
“Sabah mempunyai kawasan pesisir pantai yang luas, pulau-pulau yang indah, biodiversiti marin yang kaya serta perairan yang sesuai untuk aktiviti memancing. Ini adalah aset yang boleh dimanfaatkan bagi membangunkan segmen pelancongan niche dengan pasaran tersendiri,” katanya.
Jafry berkata pembangunan aktiviti memancing sebagai produk pelancongan turut mampu menjana limpahan ekonomi kepada sektor lain, termasuk hotel, makanan dan minuman, pengangkutan, pengusaha bot, penjual peralatan memancing serta komuniti tempatan.
SIFT 2026 menarik penyertaan 195 pemancing yang bertanding menggunakan 21 bot, dengan jumlah hadiah wang tunai sebanyak RM47,800 selain trofi dan cenderamata.
Pertandingan tahun ini turut menandakan kembalinya SIFT selepas kali terakhir dianjurkan pada 2018.
Jafry mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan peserta serta berharap peserta yang belum berjaya akan kembali bersaing pada edisi akan datang.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pembangunan sukan memancing perlu seiring dengan usaha melindungi dan memulihara sumber marin Sabah.
Katanya, pemancing juga boleh memainkan peranan sebagai rakan kerajaan dengan melaporkan aktiviti mencurigakan, penangkapan ikan secara haram atau kegiatan lain yang boleh menjejaskan sumber marin dan alam sekitar negeri.
“Kita mahu membangunkan pelancongan sukan, tetapi kelestarian sumber marin Sabah tidak boleh dikompromi. Pemancing yang bertanggungjawab juga boleh menjadi antara duta terbaik dalam melindungi khazanah marin kita,” katanya.
SIFT 2027 dijadualkan berlangsung dari 29 Julai hingga 1 Ogos 2027 bagi membolehkan promosi antarabangsa dimulakan lebih awal.

Jafry melihat hasil tangkapan ikan yang diperoleh peserta.








