Jualan Mega KTC Cecah RM2 Juta

KOTA KINABALU: Jualan Mega KTC Consolidated Berhad di Kolombong melepasi angka RM2 juta setakat tengah hari semalam, dengan pengunjung terus membanjiri lokasi acara pada hari terakhir jualan.
Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau, berkata jumlah jualan yang dicatat sehingga jam 12 tengah hari itu dijangka terus meningkat dalam tempoh lima jam terakhir acara berkenaan.
“Angka jualan kami setakat jam 12 tengah hari telah melebihi RM2 juta dan kami optimis jumlah itu dapat ditingkatkan lagi dalam tempoh lima jam akan datang,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran Jualan Mega KTC turut memberi peluang kepada perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta peniaga meningkatkan pendapatan dan membantu menambah sumber kewangan keluarga.
Jualan Mega KTC yang berlangsung selama tiga hari itu menawarkan pelbagai promosi dan tawaran istimewa dalam tempoh terhad.
Barangan terpilih turut ditawarkan pada diskaun sehingga 80 peratus, sekali gus memberi peluang kepada pengguna mendapatkan barangan keperluan rumah dan harian pada harga lebih berpatutan.-John Tambanan.

MESRA …. Dexter Lau menyambut dan melayani pengunjung pada Jualan Mega KTC di Kolombong, Kota Kinabalu.