LABUAN: Persatuan Penyelidikan, Inovasi dan Kreativiti Labuan (Labuan Research, Innovation and Creativity Society – LaRIS) terus memperluas jaringan antarabangsa apabila menganjurkan seminar dan pameran kreativiti serta inovasi peringkat antarabangsa ke-11 di Kunming, Yunnan, China, pada 4 September lepas.
LaRIS 11th International Creativity and Innovation in Education for Language Teaching & STEM Seminar & Showcase berlangsung di Holiday Inn Express, Kunming Railway Station, dengan penyertaan pembentang dan peserta dari dalam serta luar negara.
Pengerusi LaRIS, Dr Hyginus Lester Junior Lee, berkata seramai 51 peserta mendaftar sebagai pembentang dalam talian, manakala 13 lagi sebagai pembentang bersemuka dan 12 peserta menyertai seminar secara fizikal di Yunnan.
Katanya, seminar tahun ini turut disertai 29 peserta dalam rombongan sambil belajar yang menjelajah Kunming, Dali dan Lijiang dari 29 Ogos hingga 5 September lepas.
“Pembentang fitur dalam talian termasuk Profesor Madya Dr Nurulanningsih dari Universitas Tridinanti, Palembang, Indonesia, yang membentangkan kajian bertajuk ‘Pergeseran Makna Dalam Komentar Di Akun TikTok’ berkaitan penggunaan istilah oleh netizen di media sosial,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, pembentang fitur dari Filipina, Joseph P. Nacionales dari Eastern Visayas State University, membincangkan motivasi guru praperkhidmatan menerusi pembentangan bertajuk “(De)Motivation of Pre-Service Teachers in Times of Crisis”.
Hyginus berkata program tahun ini turut merekodkan penyertaan 14 penilai dari dalam dan luar negara, jumlah tertinggi setakat ini.
Antara penilai yang terlibat ialah Marge Joseph C. Sardo dari Tokyo Metropolitan Board of Education, Jepun dan Esther Koh dari Te Kura o Matarangi Northcote School, New Zealand.

Hyginus (duduk, tengah) bersama pembentang dan peserta seminar di China.





