Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Politik seharusnya menjadi medan pertembungan idea, dasar dan kepimpinan, bukannya ruang yang memaksa wanita membiasakan diri dengan gurauan berunsur seksual, sindiran terhadap gender atau kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama atas alasan “sekadar bergurau”.
Aktivis wanita dan anak muda Sabah, Karren Cassandra, berkata perkara sedemikian mencerminkan realiti yang masih dihadapi wanita apabila memilih untuk terlibat secara aktif dalam politik.
Menurutnya, perjuangan wanita dalam politik bukan sekadar mendapatkan peluang bertanding, memegang jawatan atau diberikan ruang untuk bersuara, sebaliknya persoalan yang lebih besar ialah bagaimana wanita dilayan apabila mereka sudah berada dalam ruang berkenaan.
“Bukan soal wanita terlalu sensitif. Persoalannya, sampai bila perkara yang sepatutnya sudah kita tinggalkan terus dinormalisasikan hanya kerana lebih mudah menyebutnya sebagai ‘sekadar gurauan’ daripada mengakui bahawa suatu batas telah dilanggar?” katanya.
Beliau berkata keadaan menjadi lebih serius apabila sesuatu gurauan turut menyentuh agama, yang merupakan antara perkara paling sensitif dalam kerangka 3R — kaum, agama dan institusi diraja.
Katanya, kebebasan bersuara penting dalam sebuah demokrasi, namun kebebasan itu tidak pernah menghapuskan keperluan untuk mengetahui batas, menjaga sensitiviti dan bertanggungjawab terhadap kesan sesuatu ucapan.
“Agama bukan bahan lawak. Apabila kita sendiri mengakui betapa sensitifnya isu 3R dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, kematangan politik sepatutnya terlihat pada kemampuan kita membezakan antara kebebasan bersuara dengan kebebasan merendahkan orang lain,” katanya.
Menurut Karren, budaya politik sedemikian juga boleh menjadi antara faktor yang menyebabkan sebahagian generasi muda semakin menjauh daripada politik, malah ada yang mula membayangkan masa depan mereka di tempat lain.
Namun, katanya, masih ada anak muda yang memilih untuk kekal dan terus berada dalam perjuangan kerana percaya politik boleh berubah.
“Sebahagian daripada kami memilih untuk kekal, bukan kerana kami menerima politik yang diwarisi daripada generasi terdahulu, tetapi kerana kami mahu mengubah apa yang bakal diwarisi oleh generasi selepas kami.
“Kalau kita benar-benar mahu lebih ramai wanita dan anak muda tampil memimpin, jangan sekadar membuka pintu kepada mereka. Pastikan juga ruang di sebalik pintu itu mempunyai maruah.”
Beliau menegaskan bahawa peningkatan penyertaan wanita dalam politik tidak seharusnya dinilai melalui angka dan representasi semata-mata, tetapi juga melalui pembentukan budaya politik yang membolehkan wanita bersuara dan memimpin tanpa perlu menerima seksualisasi, penghinaan atau gurauan yang merendahkan mereka sebagai harga untuk berada dalam politik.
“Ini bukan perjuangan untuk menjadikan politik terlalu sensitif. Ini perjuangan untuk menjadikan politik lebih matang,” katanya.

Karren Cassandra





