WP LABUAN: Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) mengadakan Majlis Sambutan Hari Malaysia sempena Minggu Suai Mesra Kali Ke-32 Sesi 2026/2027 di Dewan Utama UMSKAL, malam tadi, bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara dalam kalangan pelajar baharu.
Majlis yang berlangsung penuh meriah itu turut dihadiri Pengarah UMSKAL, Prof. Dr. Shamsul Bahari Shamsudin.
Turut hadir ialah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Dr. Hassanah Husin; Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FKAL, Dr. Ricky Chia Chee Jiun; serta Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UMSKAL, Nur Iman Reedzal.
Pegawai dan kakitangan UMSKAL turut bersama-sama memeriahkan sambutan yang bermula pada pukul 8 malam itu.
Acara dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lafaz ikrar Rukun Negara, diikuti ucapan alu-aluan oleh Pengarah UMSKAL yang menekankan kepentingan perpaduan serta penghayatan semangat Malaysia MADANI dalam kalangan mahasiswa.
Suasana sambutan semakin meriah menerusi sesi mengibarkan Jalur Gemilang secara beramai-ramai serta nyanyian lagu-lagu patriotik oleh pelajar baharu yang menyemarakkan semangat kebersamaan dan kecintaan terhadap negara.
Selain itu, penyerahan bendera kepada wakil ketua kumpulan pelajar baharu turut diadakan sebagai simbolik penyatuan semangat dan aspirasi generasi muda UMS.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar kenangan bersama barisan pengurusan UMSKAL, pegawai dan kakitangan serta pelajar baharu sebagai tanda bermulanya perjalanan akademik mereka di universiti dengan semangat patriotisme dan jati diri yang tinggi.

KENANGAN ….. Sesi bergambar kenangan barisan pengurusan UMSKAL bersama pelajar baharu dan wakil kumpulan.








