GUIYANG: Sabah memanfaatkan sektor pelancongan, budaya, muzik dan kerjasama industri bagi memperkukuh permintaan perjalanan serta menyokong kelestarian hubungan udara Kota Kinabalu–Guiyang.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata kelangsungan hubungan udara memerlukan lebih daripada sekadar menyediakan penerbangan, sebaliknya perlu disokong usaha menggalakkan orang ramai mengembara, menikmati pengalaman di destinasi serta membina hubungan yang berkekalan.
“Penerbangan terus membuka ruang, namun kita perlu memberikan sebab kepada orang ramai untuk terus mengembara. Itulah sebabnya kami menggabungkan elemen pelancongan, budaya, muzik, media dan perniagaan,” katanya.
Delegasi Sabah terdiri daripada pemain industri pelancongan, kumpulan kebudayaan, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) Cawangan Sabah serta pihak berkepentingan lain.
Program pertukaran berkenaan dirangka bagi mempromosikan pengalaman perjalanan dua hala, memperkukuh interaksi antara pemain industri pelancongan dengan media serta meningkatkan pendedahan mengenai Sabah dalam pasaran China.
Program itu turut menampilkan artis Malaysia, Shila Amzah, yang mengetengahkan elemen muzik dan budaya bagi menjadikan pertukaran pelancongan berkenaan lebih menarik serta mendekatkan Sabah dengan audiens di China.
Sepanjang lawatan, delegasi turut menyertai program di Anshun dan Chongqing, sekali gus menyediakan platform bagi pertukaran dalam bidang pelancongan, budaya dan industri.
Jafry berkata, matlamat utama usaha itu adalah untuk menterjemahkan hubungan yang terjalin kepada peluang nyata bagi Sabah, khususnya dalam merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.
“Kita tidak mahu hubungan ini wujud hanya pada jadual penerbangan semata-mata. Kita mahu tempat duduk itu dipenuhi oleh pelancong dan kami mahu mereka mengenali Sabah, menyokong industri pelancongan kita, merasai budaya kita serta mewujudkan peluang kepada perniagaan tempatan.
“Beginilah cara kami membina permintaan, memperkukuh pasaran dan menyokong kelestarian jangka panjang hubungan KK–Guiyang,” katanya.-JT

CENDERAHATI …. Pengurus Pusat Pemasaran Anshun Tourism Group Co., Ltd., Shen Chen, menyampaikan cenderahati kepada Jafry Ariffin.






