Dr Joachim rasmi ambil alih kepimpinan PBS sebagai Presiden

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam secara rasmi mengambil alih kepimpinan Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai Presiden, menggantikan Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili, pada Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Ke-41 di Dewan Hakka, di sini, Sabtu.
Dr Joachim, yang menang tanpa bertanding bagi penggal 2026–2029, menjadi Presiden ketiga PBS selepas Presiden Pengasas, Huguan Siou Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan dan Dr Maximus.
Beliau sebelum ini memangku jawatan Presiden sejak 1 Jun 2024 selepas Dr Maximus menyerahkan tanggungjawab kepimpinan parti kepadanya.
Pemilihan Dr Joachim bagi penggal 2026–2029 disahkan selepas proses pencalonan ditutup pada 31 Julai lalu.
Dalam ucapan dasar Presiden pertamanya selepas mengambil alih kepimpinan secara rasmi, Dr Joachim menggariskan hala tuju untuk memperkukuh dan meremajakan PBS dengan perpaduan, kestabilan dan integriti sebagai tiga tonggak utama kepimpinannya.
Beliau berkata PBS perlu terus bergerak seiring perubahan landskap politik, komunikasi dan generasi, tanpa mengabaikan prinsip perjuangan parti serta komitmen mempertahankan hak dan kepentingan Sabah.
Menurutnya, usia lebih empat dekad tidak seharusnya menyebabkan PBS terperangkap dalam pendekatan lama, sebaliknya parti perlu melakukan pembaharuan bagi memastikan perjuangannya kekal relevan kepada generasi semasa dan akan datang.
Sehubungan itu, Dr Joachim mengumumkan cadangan penubuhan pasukan petugas khas yang dianggotai tokoh serta anggota parti berpengalaman bagi meneliti strategi dan langkah memperkukuh serta meremajakan PBS.
PBS turut memberi perhatian kepada pengukuhan struktur organisasi, penggunaan teknologi dan pendigitalan, selain pembangunan generasi kepimpinan baharu bagi memastikan parti terus dekat dan relevan, khususnya dalam kalangan golongan muda Sabah.
Bagi barisan kepimpinan baharu PBS, Datuk Julita Majungki dikekalkan sebagai Setiausaha Agung, manakala Prof. Madya Dr Bonaventure Boniface dilantik sebagai Ketua Penerangan.
Jawatan Timbalan Presiden pula menyaksikan Datuk Joniston Bangkuai bagi kuota Bumiputera Bukan Islam, Datuk Ruslan Muharam bagi kuota Bumiputera Islam dan Datuk Lo Su Fui bagi kuota Cina, masing-masing menang tanpa bertanding bagi penggal 2026–2029.
Joniston kini merupakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, manakala Ruslan ialah Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah.
Lo pula merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) merangkap Ahli Parlimen Tawau, dan kemenangan beliau memberikan representasi PBS di peringkat Parlimen melalui kerusi P.190 Tawau.
Sebelum menangguhkan persidangan, Dr Joachim turut mengumumkan pelantikan tiga pemimpin bagi mengisi jawatan penting parti, iaitu Datuk Julita Majungki sebagai Setiausaha Agung, Datuk Lu Kim Yen yang dilantik semula sebagai Bendahari Agung, serta Dr Bonaventure Boniface sebagai Ketua Penerangan.
Dr Bonaventure yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Penerangan PBS.
Peralihan kepimpinan itu membuka lembaran baharu bagi PBS yang ditubuhkan pada 1985 dan kini memasuki dekad kelima perjuangannya.
Di bawah kepimpinan Dr Joachim, PBS mahu terus bergerak sebagai sebuah parti berbilang kaum yang moden, kukuh dan berintegriti, di samping mempertahankan identiti serta prinsip perjuangannya, termasuk hak dan kepentingan Sabah.

Dr Joachim Gunsalam bersama barisan kepimpinan baharu PBS selepas selesai proses pemilihan parti sempena Persidangan Perwakilan PBS Kali Ke-41 di Dewan Hakka, Kota Kinabalu, Sabtu.