Pusat WHO Malaria Zoonotik pencapaian penting Sabah

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Pembukaan Pusat Kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Malaria Zoonotik di Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan satu pencapaian penting yang mengiktiraf kepakaran universiti itu dalam penyelidikan malaria, khususnya berkaitan Plasmodium knowlesi, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, penubuhan pusat berkenaan bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada UMS, malah turut mengangkat sumbangan Sabah dan Malaysia dalam bidang penyelidikan serta kesihatan awam.
“Pembukaan pusat ini mengiktiraf kepakaran dan sumbangan UMS dalam penyelidikan malaria, khususnya kajiannya mengenai Plasmodium knowlesi. Ia merupakan satu pencapaian yang bukan sahaja membawa pengiktirafan kepada UMS, tetapi juga kepada Sabah dan Malaysia,” katanya.
Hajiji berkata demikian dalam teks ucapan sempena majlis perasmian pusat berkenaan di Galeri Majlis, Bangunan Canselori UMS, pada Isnin. Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Menurutnya, Malaysia telah mencatat kemajuan memberangsangkan dalam kawalan dan penghapusan malaria, termasuk memutuskan penularan tempatan parasit malaria manusia.
Bagaimanapun, katanya, Plasmodium knowlesi membawa cabaran berbeza kerana penularannya membabitkan interaksi kompleks antara manusia, kera, nyamuk dan alam sekitar.
“Cabaran ini amat relevan kepada Sabah. Kekayaan biodiversiti serta interaksi rapat antara masyarakat, hidupan liar dan persekitaran hutan bermakna kita perlu melihat melangkaui pendekatan tradisional dalam kawalan malaria,” katanya.
Hajiji berkata, usaha menangani malaria zoonotik memerlukan pengawasan, penyelidikan, kawalan vektor serta kerjasama merentas sektor melalui pendekatan Satu Kesihatan (One Health).
Sebagai Pro-Canselor UMS, beliau berkata penubuhan pusat itu menghimpunkan kepakaran UMS, WHO, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah serta rakan kerjasama nasional dan antarabangsa.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Sabah menyokong inisiatif yang memajukan penyelidikan, inovasi dan kerjasama antarabangsa, selain berharap pusat berkenaan dapat membantu meletakkan Sabah sebagai platform serantau bagi kerjasama dalam malaria zoonotik dan pendekatan Satu Kesihatan.

PUSAT WHO… Ceasar Mandela Malakun menyaksikan upacara penyingkapan plak WHO Collaborating Centre bersama Dr Huong Thi Giang Tran dan Profesor Datuk Dr Kasim Mohd Mansur di UMS.