Cadangan gaji sara hidup RM3,100 perlu dikaji teliti – David Ong

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Cadangan menjadikan RM3,100 sebagai gaji minimum wajib di Malaysia perlu dikaji secara teliti, khususnya dari segi kesannya terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta ekonomi negara, kata Naib Presiden Parti Demokratik Liberal (LDP), David Ong.
Beliau berkata, tiada pertikaian bahawa pekerja berhak menerima gaji lebih baik dan menikmati taraf hidup yang lebih tinggi, namun penanda aras gaji sara hidup dan gaji minimum berkanun merupakan dua perkara berbeza.
“Angka RM3,100 diperkenalkan sebagai penanda aras gaji sara hidup dengan mengambil kira kadar gaji serta kos untuk mengekalkan taraf hidup yang wajar.
“Namun, persoalannya ialah sama ada penanda aras itu wajar secara automatik dijadikan gaji minimum wajib bagi setiap majikan tanpa mengira saiz perniagaan, industri atau lokasi,” katanya dalam kenyataan.
Ong berkata, peningkatan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM3,100 merupakan kenaikan lebih 82 peratus dalam satu langkah dan kesannya terhadap produktiviti, pekerjaan, inflasi serta kelangsungan perniagaan perlu dinilai.
Katanya, kemampuan syarikat besar membayar gaji RM3,100 tidak semestinya menggambarkan kemampuan perniagaan kecil menanggung kos sama.
“Perniagaan kecil yang menggaji 10 pekerja, misalnya, akan menanggung tambahan RM14,000 sebulan bagi gaji asas sekiranya kadar dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM3,100, belum termasuk kos pekerjaan berkaitan,” katanya.
Ong berkata, kerajaan juga perlu mengambil kira perbezaan keadaan ekonomi antara wilayah, khususnya Sabah dan Sarawak.
“Apa yang mampan bagi syarikat besar di Kuala Lumpur tidak semestinya sesuai untuk perniagaan kecil di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau atau kawasan luar bandar Sabah.
“Kerajaan perlu mengadakan rundingan dan kajian impak membabitkan majikan, pekerja serta PMKS sebelum membuat keputusan,” katanya.
Beliau berkata, matlamat dasar berkenaan bukan sekadar meningkatkan angka pada slip gaji, tetapi memastikan kuasa beli rakyat meningkat, pekerjaan lebih baik diwujudkan dan perniagaan kekal mampan.

David Ong.