Pekerja Maut Dihempap Jentera Penggelek

Oleh FARDY BUNGGA

TAMBUNAN: Seorang pekerja lelaki maut selepas dihempap jentera penggelek jalan yang terbalik ketika menjalankan kerja-kerja penurapan di Jalan Makatip, Kampung Makatip, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa berusia 70 tahun dipercayai terperangkap di bawah jentera berkenaan selepas ia terbalik ketika kerja-kerja penurapan jalan sedang dijalankan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Mitchell Francis George, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10 pagi.
Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama sebuah pacuan empat roda serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi.
“Setiba di lokasi, pasukan operasi mendapati mangsa adalah pekerja sebuah syarikat pemborong yang sedang menjalankan kerja-kerja penurapan jalan di kawasan berkenaan.
“Mangsa dipercayai dihempap selepas jentera penggelek jalan terbabit terbalik dan menyebabkan mangsa terperangkap di bawah jentera,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, pasukan bomba segera menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dari bawah jentera sebelum mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Operasi ditamatkan pada jam 10.55 pagi selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi terkawal dan tiada bahaya lain,” katanya.

Mangsa maut selepas dihempap jentera penggelek jalan yang terbalik ketika kerja-kerja penurapan jalan.

Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bawah jentera.