Sabah raih RM7.6 bilion pelaburan pembuatan pada 2025

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan pelaburan berjumlah RM7.6 bilion dalam sektor pembuatan pada 2025, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi pertumbuhan industri negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, usahawan tempatan turut mencatat perkembangan positif apabila 124 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyertai 18 ekspo perdagangan antarabangsa, sekali gus menjana potensi jualan RM95.9 juta.
“Kita mahu lebih banyak perniagaan tempatan meningkatkan keupayaan, memanfaatkan teknologi dan inovasi serta bersaing di pasaran serantau dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena Majlis Malam Persekutuan Industri Sabah (FSI) di sini, yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick.
Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus menyediakan persekitaran yang menyokong pelaburan, inovasi, pembangunan kemahiran dan keusahawanan bagi memperkukuh daya saing ekonomi Sabah.
Menurutnya, kerjasama erat antara kerajaan dengan sektor swasta amat penting bagi memastikan pembangunan industri dapat dilaksanakan secara berkesan.
Beliau berharap FSI terus menjadi suara industri serta penghubung antara kerajaan dengan komuniti perniagaan dalam usaha membangunkan ekonomi negeri yang lebih berdaya tahan dan makmur.
Hajiji turut menekankan peranan FSI dalam membantu pengilang dan pemain industri menyesuaikan diri dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI), automasi dan pendigitalan.
Katanya, penganjuran Ekspo Antarabangsa Sabah (SIE) 2026 pada September lalu membuktikan kepentingan kerjasama dalam menghubungkan perniagaan tempatan dengan pelabur, delegasi perdagangan dan pasaran antarabangsa.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada FSI sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-43, sambil berharap persatuan itu terus memperkukuh sektor industri dan membuka lebih banyak peluang kepada ahlinya.

FOTO: Ewon (tengah) mewakili Hajiji merasmikan majlis berkenaan.