Tamu Besar KB erat perpaduan masyarakat

KOTA BELUD: Tamu Besar Kota Belud terus menjadi wadah memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata Tamu Besar Kota Belud bukan sekadar tempat berjual beli atau bertukar barangan, malah menjadi medan pertemuan sosial masyarakat berbilang kaum dan agama.
“Melalui semangat perpaduan yang utuh di tamu ini, kita membuktikan bahawa kepelbagaian kaum dan agama di Sabah merupakan kekuatan terbesar untuk terus melangkah maju bersama-sama menjayakan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Tradisi ini mesti terus dipelihara dan pada masa sama disesuaikan dengan tuntutan semasa supaya kekal relevan kepada generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Tamu Besar Kota Belud 2026 di Tapak Tamu Minggu Kota Belud, di sini, pada Sabtu.
Hajiji berkata, Tamu Besar Kota Belud yang berusia 148 tahun itu turut menjadi antara acara tahunan penting dalam kalendar pelancongan Sabah, dengan keunikan budaya, makanan tempatan, kraftangan dan kehidupan masyarakat setempat menjadi tarikan pengunjung.
Katanya, sektor pelancongan perlu terus diperkasakan supaya manfaatnya bukan sahaja dinikmati industri dan pengusaha besar, malah turut dirasai pengusaha inap desa, petani, penternak, peniaga kecil, pengusaha makanan, penggiat kraftangan serta masyarakat setempat.
Beliau berkata, Kota Belud turut menawarkan pelbagai pengalaman pelancongan merangkumi pengembaraan, rekreasi, budaya dan alam semula jadi, termasuk tarikan pulau dan sungai.
“Malah, daerah Kota Belud telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada Kinabalu UNESCO Global Geopark sejak Mei 2023. Ini menunjukkan potensi besar daerah ini dan seterusnya Sabah sebagai destinasi pelancongan,” katanya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri terus memberi perhatian kepada pembangunan infrastruktur asas dan kemudahan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Kota Belud, selaras dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan Pelan Pembangunan SMJ 2.0.
Majlis itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, yang turut hadir bersama isterinya, Toh Puan Faridah Tussin.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick; Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Fairuz Renddan; serta Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jiton.-Penerangan.

SUASANA: Tun Musa Aman bersama tetamu kehormat melawat pameran dan reruai pada Sambutan Tamu Besar Kota Belud 2026.

TRADISI … Suasana ketika pertunjukan penunggang kuda Bajau Samah.