RANAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki merogol anak perempuan kandungnya yang berusia 13 tahun di daerah ini.
Suspek berusia 34 tahun yang berstatus pemastautin tetap itu ditahan pada Isnin selepas ibu saudara mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud berkata, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama bapa kandung dan ibu tirinya.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika ibu tiri mangsa tiada di rumah kerana berada di Labuan.
“Suspek dipercayai masuk ke bilik tidur mangsa sebelum melakukan perbuatan rogol terhadap anak kandungnya itu.
“Susulan laporan yang diterima daripada ibu saudara mangsa, polis menahan suspek bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Mursalin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
Menurutnya, polis akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan individu yang terbabit dalam jenayah berkenaan dibawa ke muka pengadilan.
“Polis memandang serius kesalahan jenayah seksual, terutama yang membabitkan kanak-kanak dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah diminta menyalurkannya kepada polis bagi membantu siasatan dan tindakan penguatkuasaan,” katanya.

MURSALIN






