Lokasi Kemalangan Sempit, Tidak Sesuai Untuk Aktiviti Pemindahan Kontena

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah menegaskan kawasan kemalangan dua beranak maut dihempap kontena, Ahad lalu, terlalu sempit dan tidak sesuai untuk aktiviti pemindahan kontena.
Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, aktiviti pemunggahan dan pemindahan kontena sepatutnya dijalankan di dalam kawasan pelabuhan atau depot kontena yang mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Katanya, pemerhatian turut mendapati terdapat sebilangan pengusaha meletakkan kontena di bahu jalan termasuk di atas longkang.
“Tindakan itu boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya selain boleh menyebabkan kerosakan infrastruktur.
“Keadaan ini perlu diberi perhatian serius bagi memastikan aktiviti pengangkutan dan pemunggahan kontena tidak membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Mohd Harris berkata, susulan kejadian itu, JPJ Sabah menjalankan operasi khas pada 19 Oktober lalu dengan mengambil tindakan terhadap 65 kenderaan serta mengeluarkan 109 notis atas pelbagai kesalahan.
Katanya, kesalahan tertinggi membabitkan Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memberhentikan atau membenarkan kenderaan berhenti di jalan dalam keadaan yang boleh membahayakan, menghalang atau menyusahkan pengguna jalan raya lain.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda antara RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara antara satu hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Menurutnya, statistik penguatkuasaan di sekitar Jalan Sepanggar menunjukkan sebanyak 397 notis dikeluarkan sepanjang 2025, manakala 486 notis direkodkan bagi tahun ini setakat ini.
Katanya, JPJ Sabah akan membangkitkan perkara berkenaan kepada pihak berwajib mengenai keperluan menyediakan kawasan depot simpanan dan ruang menunggu kenderaan perdagangan yang bersesuaian.
“Cadangan pemasangan bonggol jalan, baik pulih jalan raya, menaik taraf pencahayaan serta pembesaran bahu jalan sepanjang laluan ke Pelabuhan Sepanggar juga perlu dipertimbangkan.
“Langkah ini penting bagi mengurangkan risiko kemalangan terutama pada waktu malam,” katanya.
Terdahulu dalam kejadian Ahad lalu, dua beranak yang menaiki Toyota Avanza maut selepas dihempap kontena ketika melalui jalan berkenaan.

Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, Mohd Jadi Pelbi, 53, bersama anak perempuannya, Norfaieza Mohd Jadi, 24, dihempap kontena yang dilaporkan hilang keseimbangan ketika proses pemunggahan muatan.
Susulan kejadian itu, polis sudah menahan pemandu treler berusia 49 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

TINJAU …. Mohd Haris meninjau keadaan jalan dan kawasan pemunggahan kontena berhampiran Pelabuhan Sepanggar yang dikenal pasti tidak sesuai untuk aktiviti berkenaan berikutan keadaan jalan yang sempit.