PERSIAPAN PESTA AMBUYAT SABAH 2026 PMBS BERJALAN LANCAR

KOTA KINABALU: Persiapan Pesta Ambuyat Sabah 2026 anjuran bersama Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) dan Yayasan Dangsanak Sabah pada 1 November depan berjalan lancar.
Pengerusi Pelaksana, Datuk Haji Sapdin Ibrahim, berkata semua pengerusi pertandingan, termasuk Pertandingan Idangan Set Ambuyat, Memanting Gambus Solo, Mengual Kulintangan Remaja serta penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Anak-Anak Brunei bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), telah membentuk jawatankuasa masing-masing.
“Hampir semua persiapan berjalan dengan baik dan kita hanya menunggu masa untuk mengadakan pesta ini,” katanya ketika memberikan taklimat kepada Presiden PMBS, Datuk Dr Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif, di sini petang kelmarin.
Mohd Arifin, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, akan merasmikan Pesta Ambuyat Kali Ke-5 itu di Dewan Sri Wawasan, Kampung Pimping, bermula jam 9 pagi hingga selesai.
Pengerusi Pertandingan Idangan Set Ambuyat, Hajah Rugayah Haji Ag Besar, berkata sebanyak 18 pasukan dari cawangan PMBS di seluruh Sabah telah mengesahkan penyertaan dalam pertandingan berkenaan.
Beliau berkata, juara pertandingan akan menerima hadiah wang tunai RM1,500, naib juara RM1,000 dan tempat ketiga RM800, manakala semua pasukan yang mengambil bahagian akan menerima hadiah sagu hati RM400.
Sementara itu, Pengerusi Pertandingan Gambus Solo, Haji Pg Jafar Hj Pg Osman, memaklumkan bahawa lima peserta akan dipilih untuk berentap di peringkat akhir pertandingan itu, yang akan diadili oleh pengadil profesional.
Pg Jafar, yang juga Naib Presiden I PMBS, berkata juara akan menerima hadiah wang tunai RM1,000, naib juara RM700, tempat ketiga RM500, tempat keempat RM300 dan tempat kelima RM200.
Bagi Pertandingan Mengual Kulintangan Remaja Bawah 16 Tahun pula, pengerusinya, Haji Ampuan Wahab Ampuan Hamzah, berkata lima kumpulan akan bertanding di peringkat akhir.
Beliau berkata, juara akan menerima hadiah wang tunai RM1,500, naib juara RM1,300, tempat ketiga RM1,000, manakala tempat keempat dan kelima masing-masing menerima RM500.
Seperti tahun lalu, PMBS turut menyediakan insentif kepada anak-anak masyarakat Brunei di Sabah yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM dan STPM.
Pengerusi Biro Pendidikan PMBS, Prof. Dr. Hj. Rasid Hj. Mail, berkata sebanyak 30 pelajar layak menerima Anugerah Pelajar Cemerlang SPM selepas permohonan ditutup, dengan masing-masing memperoleh keputusan sekurang-kurangnya 7A.
Bagi STPM pula, seramai 44 pelajar layak menerima insentif berkenaan selepas memperoleh keputusan PNGK 3.0.
Beliau berkata, Ahli Jawatankuasa Persatuan (AJP) PMBS memutuskan untuk memberikan insentif sebanyak RM300 seorang kepada pelajar SPM dan RM400 seorang kepada pelajar STPM yang layak.
Sebagai galakan tambahan kepada anak-anak masyarakat Brunei di Sabah untuk terus cemerlang dalam pendidikan, seorang pelajar yang memperoleh 10A dalam SPM akan menerima insentif RM700, manakala pelajar yang memperoleh PNGK 4.0 dalam STPM akan menerima RM1,000.
Pesta Ambuyat kali ini turut menyaksikan pembukaan lebih 20 gerai yang akan menjual dan mempamerkan pelbagai produk tempatan, termasuk produk usahawan dari negara jiran, Brunei Darussalam.
Orang ramai juga berpeluang menyaksikan demonstrasi pembuatan kuih tradisional masyarakat Brunei, antaranya penyaram, kuih cincin, kuih sapit, kakara dan tapai.
Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Hajah Faridah Tussin, dan isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag, akan turut hadir sebagai tetamu kehormat pada pesta berkenaan.

ALBUM KENANGAN… Mohd Arifin (duduk tengah) bersama AJP PMBS sebelum taklimat diadakan.