PKBS disaran manfaatkan warisan budaya sebagai tarikan pelancongan

KENINGAU: Persatuan Komuniti Bugis Sabah (PKBS) disaran memanfaatkan kekayaan warisan budaya masyarakat Bugis sebagai produk pelancongan yang mampu menarik minat pelancong, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti berkenaan.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr. Andi Md. Shamsureezal Mohd Sainal, berkata kekayaan seni warisan, gastronomi dan sejarah masyarakat Bugis mempunyai nilai yang besar untuk diketengahkan sebagai tarikan pelancongan berasaskan komuniti.
“ Kekayaan budaya, seni warisan, gastronomi dan sejarah komuniti Bugis adalah aset pelancongan yang bernilai tinggi.
“Tarian, busana, adat resam serta makanan tradisional seperti burasa dan coto merupakan keunikan yang boleh diketengahkan sebagai daya tarikan pelancongan komuniti.
“Kementerian sentiasa menyokong usaha memulihara dan mempromosikan silang budaya di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PKBS Kali Ke-16 Tahun 2026 di Dewan Tan Sri Suffian Koroh, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau, baru-baru ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru Biro Budaya dan Biro Keusahawanan PKBS supaya merangka pelan strategik bagi mengkomersialkan warisan budaya masyarakat Bugis secara mampan.
Katanya, usaha berkenaan bukan sahaja dapat memastikan kelestarian adat dan tradisi masyarakat Bugis untuk diwariskan kepada generasi muda, malah membuka peluang ekonomi serta keusahawanan baharu kepada ahli persatuan, khususnya golongan belia dan wanita.
“Ia bukan sahaja dapat memastikan kelestarian adat kita untuk generasi muda, malah membuka ruang ekonomi dan keusahawanan baharu untuk ahli-ahli PKBS, terutamanya golongan belia dan wanita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepimpinan dan ahli PKBS supaya terus memperkukuh perpaduan, mengamalkan kepimpinan berintegriti serta menjadikan MAT sebagai platform perbincangan bagi merangka strategi dan menentukan hala tuju persatuan.
Beliau berkata, nilai Sipakatau, Sipakalebbi dan Sipatokkong yang membawa maksud saling menghormati, memuliakan serta membantu antara satu sama lain perlu terus dipelihara bagi mengekalkan keharmonian masyarakat Bugis dan masyarakat majmuk di Sabah.
Beliau berharap PKBS akan terus memainkan peranan aktif dalam memelihara warisan budaya serta menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negeri Sabah.
Turut hadir, Presiden PKBS, Prof. Dr. Arsiah Bahron, dan Pengarah Sekolah Henry Gurney Keningau, Penolong Komisioner Penjara (PKP) Sirajuddin Abdul Majid.-Penerangan

KENANGAN… Andi (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama tetamu jemputan yang menghadiri majlis berkenaan.