KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) bercadang menubuhkan enam biro baharu selain Biro Politik bagi memperkukuh struktur organisasi, pembangunan kepimpinan dan keberkesanan gerak kerja parti di semua peringkat.
Presidennya, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, berkata cadangan itu bertujuan meningkatkan keupayaan parti melaksanakan tanggungjawab kepada ahli dan masyarakat serta mempersiapkan kepimpinan menghadapi cabaran politik semasa.
Enam biro dicadangkan ialah Biro Pembangunan Kepimpinan, Biro Pembangunan Belia dan Beliawanis, Biro Pendidikan dan Latihan Kemahiran, Biro Ekonomi dan Keusahawanan, Biro Disiplin dan Tatatertib serta Biro Kebajikan dan Bencana Alam.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Upacara Angkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBS Sesi 2026–2029 di Dewan Hakka, Likas, pada Selasa.
Menurutnya, fungsi, skop tugas dan pelantikan pengerusi setiap biro akan diperhalusi bersama Biro Politik bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan keperluan parti.
“Setiap biro mesti aktif, mempunyai perancangan program yang jelas dan diselaraskan dengan kepimpinan bahagian serta pergerakan parti,” katanya.
Dr. Joachim turut menegaskan kepentingan Biro Disiplin dan Tatatertib dalam memelihara integriti kepimpinan dan ahli, dengan setiap isu ditangani secara adil tanpa pilih kasih.
Beliau mengingatkan pemimpin bahawa jawatan merupakan amanah yang menuntut pengorbanan masa, tenaga dan kepentingan peribadi. Pergerakan Pemuda dan Wanita pula perlu mempersiapkan pelapis bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyeru kepimpinan PBS mengetepikan perbezaan pandangan yang boleh menjejaskan perpaduan serta mengamalkan budaya politik matang berlandaskan prinsip “Walk the Talk”, iaitu memastikan setiap komitmen disusuli tindakan.
Menyentuh kedudukan PBS dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), beliau berkata kerjasama antara parti komponen penting bagi mengekalkan kestabilan kerajaan negeri dan memperjuangkan hak Sabah di peringkat Persekutuan.
Beliau turut menggesa pemimpin parti mempergiat penerangan kepada rakyat mengenai perjuangan PBS dan usaha pembangunan negeri.
Mengakhiri amanat, Dr. Joachim menyeru semua AMT serta EXCO Pemuda dan Wanita yang mengangkat sumpah supaya menjaga amanah dan nama baik parti demi masa depan Sabah serta generasi akan datang.-John Tambanan.

Dr. Joachim Gunsalam mengangkat sumpah sebagai Presiden PBS bagi sesi 2026–2029.







