MCCC Sabah pupuk minat generasi muda dalam pembinaan

KOTA KINABALU: Dewan Perniagaan Malaysia–China (MCCC) Sabah terus memupuk minat generasi muda terhadap industri pembinaan menerusi pembelajaran praktikal yang memberi pengalaman secara langsung di luar bilik darjah.
Presidennya, Datuk Dexter Lau, berkata pendidikan berasaskan pengalaman dan pendedahan kepada industri penting dalam membentuk generasi akan datang, selain membuka peluang kepada kanak-kanak untuk mengenali pelbagai bidang pekerjaan.
Katanya, dewan perniagaan bukan sahaja berperanan menghubungkan komuniti perniagaan, malah turut membantu menyediakan peluang pembelajaran bermakna kepada generasi muda.
“Melalui pendedahan kepada pengalaman praktikal sejak usia muda, kami berharap dapat memupuk sifat ingin tahu, keyakinan diri serta penghargaan terhadap pelbagai profesion,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena program NGEO Bob The Builder: Build & Paint Your Own Mini House anjuran Pertubuhan Usahawan Generasi Baharu (NGEO) MCCC Sabah di Taman Perindustrian Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, yang disertai 30 anak dan cucu ahli MCCC Sabah.
Peserta dibahagikan kepada enam kumpulan dan berpeluang mencuba aktiviti asas pembinaan, termasuk membancuh simen, menyusun batu bata, mengukur struktur serta mengecat rumah mini di bawah bimbingan penyelia tapak berpengalaman.
Pengerusi NGEO, Charlene Chea, berkata program itu bertujuan menjadikan pembelajaran lebih menarik dengan memberi peluang kepada kanak-kanak memahami proses pembinaan serta menghargai usaha dan kemahiran yang diperlukan dalam industri berkenaan.
Timbalan Pengerusi NGEO, Katryn Haw, pula berkata program itu turut mengetengahkan kepentingan tenaga kerja mahir dan profesion teknikal, selain menunjukkan bahawa pengetahuan akademik dan kemahiran praktikal saling melengkapi dalam dunia pekerjaan.
Program itu turut memupuk semangat kesukarelawanan apabila anak-anak ahli MCCC Sabah yang lebih berusia bertindak sebagai sukarelawan muda untuk membantu peserta lebih kecil, sekali gus membina kemahiran kepimpinan, tanggungjawab dan semangat khidmat masyarakat.
Program berkenaan diterajui Charlene, Katryn, Setiausaha Lok Kai Xi dan Bendahari Aerith Lee.
NGEO turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Yong Wei Hau daripada Fajar Constructions dan John Wong daripada NB Land atas sumbangan bahan binaan serta penyediaan penyelia tapak berpengalaman untuk membimbing peserta.
Penghargaan turut diberikan kepada Katryn atas tajaan peralatan dan cat yang digunakan sepanjang program.
MCCC Sabah berharap inisiatif seumpama itu dapat terus menggalakkan pembelajaran berasaskan pengalaman, kesukarelawanan dan kesedaran terhadap pelbagai industri dalam kalangan generasi muda.

Peserta cilik Kumpulan Mangrove yang meraih tempat pertama dalam aktiviti NGEO Bob The Builder: Build & Paint Your Own Mini House bergambar bersama Dexter dan ahli jawatankuasa penganjur selepas program.