Perbelanjaan pembangunan Persekutuan di Sabah meningkat kepada 71.78 peratus

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Prestasi perbelanjaan pembangunan Persekutuan di Sabah meningkat kepada 71.78 peratus setakat 26 Oktober 2026, berbanding 52.07 peratus pada 10 Ogos lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, sebanyak 291 projek pembangunan berjaya disiapkan di Sabah tahun ini, antaranya Sekolah Menengah Sains Sabah, Kota Kinabalu dan Sekolah Kebangsaan Buit Hill, Penampang.
“Ini menunjukkan bahawa kita sebenarnya mampu menjayakan pelaksanaan projek dan prestasi positif ini wajar diteruskan,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah di Menara Kinabalu, pada Rabu.
Sehubungan itu, Hajiji mahu semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana mempergiat usaha bagi memastikan baki peruntukan pembangunan dimanfaatkan secara optimum sebelum berakhirnya tahun kewangan 2026.
Katanya, perhatian khusus perlu diberikan kepada projek yang mempunyai baki peruntukan besar atau berdepan kekangan pelaksanaan sehingga berisiko mengalami kelewatan atau dikategorikan sebagai projek sakit.
Beliau berkata, isu berkaitan kelulusan teknikal, pengambilan tanah, pengalihan utiliti, perolehan dan pengurusan kontrak perlu dikenal pasti serta ditangani secara proaktif menerusi penyelarasan berkesan antara agensi terlibat.
“Bagi isu yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi, tindakan penyelesaian serta tempoh masa yang jelas perlu ditetapkan dan dipantau sehingga selesai.
“Setiap peruntukan pembangunan ialah amanah yang mesti diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat. Peruntukan yang diluluskan seharusnya menghasilkan kemudahan dan perubahan yang dapat dirasai oleh rakyat Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji menyambut baik peruntukan RM18.7 bilion kepada Sabah menerusi Belanjawan MADANI 2027 yang dibentangkan pada 9 Oktober lalu, meningkat berbanding RM17.6 bilion pada tahun ini.
Beliau berkata, peningkatan itu mencerminkan keprihatinan berterusan Kerajaan Persekutuan terhadap keperluan pembangunan Sabah, khususnya dalam memperkukuh infrastruktur asas dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Antara projek utama yang diberi keutamaan ialah pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B serta usaha memperkukuh sistem bekalan elektrik menerusi projek Sistem STATCOM di Dam Road dan Segaliud, Sandakan, selain Talian Penghantaran Southern Link di Sipitang.
Katanya, peruntukan hampir RM1.3 bilion bagi menaik taraf 682 sekolah daif di Sabah dan Sarawak turut menjadi langkah penting untuk meningkatkan kualiti persekitaran pembelajaran serta menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih baik kepada pelajar.
“Saya mahu semua kementerian dan agensi berkaitan membuat persediaan rapi bagi memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut keutamaan serta jadual yang ditetapkan,” katanya.
Hajiji turut mengingatkan semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana supaya menjadikan mesyuarat MTPNg sebagai platform mencari penyelesaian terhadap isu pelaksanaan projek, bukannya sekadar membincangkan masalah yang dihadapi.
“Kita perlu bergerak daripada sekadar membincangkan masalah kepada tindakan yang lebih jelas. Saya yakin melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri serta komitmen seluruh jentera pelaksana, agenda pembangunan Sabah dapat terus dipacu secara mampan dan inklusif, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan pembangunan negeri bukan hanya diukur berdasarkan jumlah peruntukan atau bilangan projek yang dilaksanakan, tetapi juga sejauh mana pembangunan itu mampu meningkatkan kualiti hidup dan menjamin kesejahteraan rakyat di seluruh Sabah.
Pada mesyuarat itu, Hajiji turut mengalu-alukan pelantikan Setiausaha Persekutuan Sabah yang baharu, Datuk Zul Hadi Ahmad, sambil berharap kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri terus diperkukuh bagi memastikan agenda pembangunan Sabah dilaksanakan dengan berkesan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor (kanan) dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun (kiri), sebelum Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah bermula di Menara Kinabalu, pada Rabu.