Oleh JAMES LEONG
SANDAKAN: Penganjuran Festival Burung Borneo (BBF) Ke-16 di Pusat Penemuan Hutan Hujan (RDC), Sepilok, pada 7 dan 8 November lalu berjaya menarik ribuan pengunjung, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai destinasi utama pemerhatian burung.
Festival selama dua hari itu menghimpunkan peminat alam semula jadi, pemerhati burung, jurugambar, pelajar serta keluarga dari dalam dan luar negara bagi meraikan kepelbagaian spesies burung di Borneo, selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan biodiversiti.
Antara tarikan utama ialah pertandingan Bird Race yang mencatat penyertaan tertinggi sejak diperkenalkan pada 2009, dengan sebanyak 45 pasukan mengambil bahagian.
Peserta terdiri daripada pemerhati burung dari Filipina, China, Taiwan, Singapura, Vietnam, New Zealand dan Malaysia yang berpeluang meneroka serta merekodkan kepelbagaian spesies burung di Borneo.
Selain itu, pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk pameran, ceramah pendidikan, aktiviti fotografi burung, larian burung serta program interaktif untuk keluarga dan kanak-kanak.
Acara Borneo Bird Run turut mendapat sambutan apabila kira-kira 300 peserta menyertai larian sejauh 12 kilometer mengelilingi kawasan Sepilok.
Festival itu turut menampilkan perkongsian ilmu dan pengalaman oleh jurugambar burung serta penulis dari rantau ini, khususnya mengenai peranan fotografi dan penceritaan dalam meningkatkan penghargaan masyarakat terhadap alam semula jadi dan usaha pemuliharaan.
Penganjuran BBF bukan sekadar meraikan kepelbagaian burung, malah mengetengahkan kepentingan melindungi hutan dan habitat semula jadi yang menjadi tempat perlindungan hidupan liar.
Burung memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem melalui penyebaran benih, pendebungaan dan kawalan serangga perosak. Kepelbagaian spesies burung juga menjadi petunjuk kepada tahap kesihatan sesebuah hutan.
Selain aspek pemuliharaan, festival itu turut mengetengahkan potensi ekonomi aktiviti pemerhatian burung dan pelancongan berasaskan alam semula jadi yang mampu membuka peluang pendapatan kepada pemandu pelancong tempatan, pengusaha inap desa, penyedia pengangkutan serta perniagaan makanan.
Festival Burung Borneo Ke-16 dianjurkan bersama oleh Sandakan Borneo Bird Club (BoBC) dan Jabatan Perhutanan Sabah dengan sokongan Lembaga Pelancongan Sabah di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS).
Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja, rakan kerjasama, sukarelawan, pempamer dan peserta yang menyumbang kepada kejayaan penganjuran festival berkenaan.
Penganjuran itu diharap terus menyemarakkan kesedaran bahawa usaha melindungi burung turut bermakna memelihara habitat hutan, warisan alam semula jadi Sabah serta menjamin kelestarian sumber kehidupan masyarakat untuk generasi akan datang.

MERIAH … Peserta dan pegawai bergambar bersama pada Festival Burung Borneo Ke-16 yang berlangsung di Pusat Penemuan Hutan Hujan (RDC), Sepilok, Sandakan, hujung minggu lalu.





