Oleh JOHN TAMBANAN
TUARAN: Kerajaan Negeri terus komited memperkasa golongan wanita dan suri rumah menerusi pelbagai inisiatif meliputi aspek ekonomi, sosial dan kepimpinan bagi memastikan mereka terus menjadi antara penggerak penting pembangunan Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, sumbangan dan peranan wanita, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, sentiasa dihargai dan diberikan perhatian melalui pelbagai program bantuan serta pembangunan.
Beliau berkata, sebanyak RM500,000 diperuntukkan setiap tahun khusus untuk program wanita di kawasan Sulaman, termasuk pelaksanaan bantuan peralatan dapur kepada golongan suri rumah.
Katanya, peruntukan tahunan berjumlah RM500,000 turut disediakan masing-masing untuk program pembangunan pemuda dan beliawanis di kawasan berkenaan.
“Setiap tahun saya memberi peruntukan kepada wanita di kawasan saya, Sulaman sebanyak RM500,000 termasuklah untuk program bantuan peralatan dapur.
“Begitu juga kepada pemuda dan beliawanis kita di Sulaman, saya beri masing-masing RM500,000 setahun. Ini adalah untuk menyantuni program-program wanita, pemuda dan beliawanis kita di kawasan Sulaman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Dapur kepada Suri Rumah bagi kawasan DUN Sulaman di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah, Kampung Lok Batik, di sini.
Majlis anjuran Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Sulaman dengan kerjasama Pejabat Daerah Tuaran itu menyaksikan seramai 1,000 suri rumah menerima bantuan peralatan dapur.
Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, beliau tidak pernah melupakan sokongan dan sumbangan kaum wanita yang menjadi antara faktor penting kejayaan beliau mengekalkan mandat sebagai wakil rakyat kawasan itu selama sembilan penggal sejak 1990.
“Saya tidak pernah lupa peranan wanita. Mereka merupakan separuh daripada pengundi kita di Sulaman,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa usaha memperkasa wanita merupakan sebahagian daripada agenda Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), termasuk melalui pelaksanaan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) bagi membantu golongan B40, keluarga berpendapatan rendah dan suri rumah yang layak.
Katanya, daripada kira-kira 10,000 penerima bantuan SYUKUR di daerah Tuaran, lebih 3,000 daripadanya adalah penduduk di kawasan Sulaman.
“Bantuan SYUKUR tahun lepas RM300 sebulan, antaranya kepada wanita yang berkelayakan. Itulah tanggungjawab kita sebagai Kerajaan Negeri untuk sentiasa memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Hajiji berkata, kesejahteraan rakyat merupakan antara komponen terpenting dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), justeru pelbagai inisiatif kebajikan terus dilaksanakan bagi membantu golongan yang memerlukan.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri menyediakan bantuan RM200 sebulan kepada 140,000 penerima daripada golongan kurang berkemampuan pada tahun ini.
“Ini tidak pernah dilaksanakan sebelum ini. Hanya kerajaan yang saya pimpin, GRS dan parti komponen kita ini sahaja yang melaksanakannya.
“Banyak inisiatif telah kita laksanakan. Kalau kita sebut kebajikan, dulu-dulu hanya sekitar lebih 20,000 orang sahaja menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan.
“Sekarang ini dalam masa lima tahun, kita tingkatkan sehingga hampir 70,000 orang penerima setiap bulan.
“Itulah dasar hala tuju saya dalam menyantuni rakyat, iaitu untuk kesejahteraan rakyat kita,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji turut mengingatkan seluruh kepimpinan GRS supaya terus memperkukuh parti dan meletakkan kepentingan perjuangan parti sebagai keutamaan.
“Sebagai tunjang kepada kerajaan, GRS mesti kita perkuatkan dan GRS mesti menerajui Kerajaan Negeri Sabah ini, bukan saja sekarang tetapi pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri empat tahun akan datang,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengerusi penganjur, Datuk Jamaliah Antalip, atas komitmen tinggi dalam menjayakan program bantuan peralatan dapur kepada suri rumah di kawasan Sulaman.

Hajiji (duduk, tengah) bergambar bersama sebahagian penerima bantuan peralatan dapur bagi kawasan Sulaman.







