PENAMPANG: Petronas dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah memperkenalkan pendekatan pembelajaran Matematik secara interaktif kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petagas dan SMK Limbanak menerusi Program Bijak Kalkulator, baru-baru ini.
Program di bawah inisiatif Discover Petronas@ School itu memberi pendedahan kepada 130 pelajar Tingkatan Tiga dan Empat mengenai penggunaan kalkulator saintifik secara praktikal dalam bidang seperti algebra, trigonometri, statistik dan fungsi.
Inisiatif berkenaan bertujuan meningkatkan pemahaman serta keyakinan pelajar dalam mata pelajaran Matematik dan Matematik Tambahan melalui penggunaan teknologi sebagai alat bantu pembelajaran.
Menerusi aktiviti amali dan latihan penyelesaian masalah, termasuk eksplorasi butang dan fungsi kalkulator serta aktiviti treasure hunt kalkulator, pelajar berpeluang mempraktikkan penggunaan kalkulator saintifik bagi menyelesaikan pelbagai soalan Matematik.
Pelajar Tingkatan Empat SMK Petagas, Princess Charissa Ephrem Clement Tubong, berharap kemahiran yang diperoleh menerusi program itu dapat membantunya menggunakan kalkulator saintifik dengan lebih cekap, sekali gus meningkatkan keyakinan ketika menghadapi peperiksaan.
“Saya berharap kemahiran ini dapat membantu saya menjimatkan masa, mengurangkan kesilapan pengiraan dan meningkatkan keyakinan ketika menghadapi peperiksaan,” katanya.
Sementara itu, pelajar Tingkatan Tiga SMK Limbanak, Davysha Donysius, menyifatkan perkongsian ilmu sebagai antara manfaat utama yang diperoleh menerusi program berkenaan.
“Saya berharap ilmu yang kami pelajari menerusi program ini dapat dikongsi dengan rakan-rakan yang tidak berpeluang menyertainya,” katanya.
Program itu turut melibatkan 33 pelajar Fakulti Sains Gunaan UiTM serta penerima tajaan PETRONAS dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang bertindak sebagai pembimbing kepada pelajar sekolah sepanjang aktiviti berlangsung dengan bimbingan pensyarah UiTM selaku mentor.
Sementara itu, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Penampang, Darsahanee Yusop, berkata teknologi boleh dimanfaatkan sebagai alat bantu pembelajaran, namun penguasaan konsep asas Matematik dalam kalangan pelajar perlu terus diberi keutamaan.
“Kalkulator saintifik merupakan alat bantu pembelajaran, namun perkara yang lebih penting ialah pelajar memahami konsep Matematik, berfikiran kritis dan mampu mengaplikasikan pengetahuan untuk menyelesaikan masalah.
“Kami berharap program ini dapat meningkatkan keyakinan dan minat pelajar terhadap Matematik dan Sains,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama antara institusi pengajian tinggi, pihak industri dan sekolah juga berupaya membuka lebih banyak peluang pembelajaran bermakna kepada pelajar.
Menerusi inisiatif Discover Petronas @ School, PETRONAS terus memperkukuh kerjasama dengan institusi akademik bagi menyediakan pengalaman pembelajaran praktikal yang mampu meningkatkan minat, keyakinan dan keupayaan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Sebahagian pelajar menyertai aktiviti pembelajaran secara praktikal bagi meningkatkan kemahiran menggunakan kalkulator saintifik menerusi program Discover Petronas @ School.





