Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Pelbagai produk farmaseutikal tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi bernilai RM500,000 berjaya dirampas dalam operasi bersepadu Op Padu yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Operasi yang dijalankan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Sabah itu berjaya menyerbu 11 premis yang dikenal pasti sebagai pembekal dan penjual produk kesihatan.
Ia memfokuskan kawasan tumpuan awam termasuk tapak tamu dan kedai runcit di seluruh negeri.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM, Asniza Alias berkata, operasi bersepadu berkenaan dilancarkan sebagai usaha membanteras rangkaian pengedaran produk kesihatan yang menyalahi undang-undang.
Katanya, perbuatan memiliki, menjual atau membekalkan produk farmaseutikal tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi merupakan kesalahan serius yang boleh mengundang tindakan penguatkuasaan terhadap pihak terlibat.
“Secara keseluruhan daripada serbuan terhadap 11 premis, sebanyak 27,900 perkara iaitu produk pharmaceutical yang disyaki tidak berdaftar telah dirampas selain 2,663 produk disyaki mengandungi racun berjadual dan sebanyak 23,101 lagi produk kosmetik disyaki tidak bernotifikasi turut dirampas.
“Ia merupakan kesalahan di bawah peraturan-peraturan 7(1)(a), Peraturan-peraturan kawalan dadah dan kosmetik 1984 yang merupakan kesalahan di bawah peraturan 31 peraturan yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di salah sebuah rumah di kawasan Petagas, yang diserbu pada Rabu.
Menurutnya, jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.
Asniza berkata, semua pengedar dan penjual, termasuk pemilik kedai runcit serta peniaga tamu, diingatkan supaya memastikan produk farmaseutikal yang dikendalikan mempunyai nombor pendaftaran MAL dan pelekat keselamatan hologram Farmatag.
Katanya, pengguna boleh pula menyemak status pendaftaran produk kesihatan melalui imbasan hologram Farmatag menggunakan aplikasi MyUbat atau melayari laman sesawang Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di www.npra.gov.my menerusi ruangan Product Search.

Asniza menunjukkan produk kesihatan yang berjaya dirampas.









