Enam ADUN Warisan sedia bekerjasama dengan MPS tingkatkan mutu perkhidmatan di Sandakan

Oleh JAMES LEONG


SANDAKAN: Kesemua enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Warisan (Warisan) di Sandakan bersedia bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) bagi meningkatkan mutu perkhidmatan perbandaran serta menangani pelbagai masalah yang sekian lama dihadapi penduduk.
ADUN Tanjong Papat, Alex Thien Ching Qiang berkata, kedudukan MPS di tangga ke-42 daripada 42 majlis perbandaran di seluruh negara dalam Penilaian Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2026, dengan markah 64.26 peratus dan penarafan tiga bintang, seharusnya dijadikan peringatan untuk memperbaiki kelemahan pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan.
Katanya, tumpuan kini perlu diberikan kepada usaha mencari penyelesaian praktikal berbanding terus mengkritik, namun kerjasama itu memerlukan kesediaan MPS untuk membuka ruang komunikasi dan perbincangan dengan semua pihak.
Beliau mencadangkan supaya MPS menjemput semua ADUN, termasuk wakil rakyat daripada kawasan kerajaan dan pembangkang, menghadiri Mesyuarat Penuh Majlis bagi membolehkan isu berkaitan kerosakan jalan raya, longkang tersumbat, pengurusan sampah serta kemudahan awam yang semakin uzur dibangkitkan secara langsung.
Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya aduan penduduk yang masih belum diselesaikan dijadikan agenda tetap mesyuarat, dengan maklumat terperinci serta gambar berkaitan dikemukakan lebih awal.
Thien turut mendedahkan bahawa walaupun beliau sudah menghantar banyak surat kepada MPS sepanjang tahun lalu bagi membangkitkan pelbagai masalah mendesak, namun setakat ini masih belum menerima maklum balas atau perkembangan secara bertulis.
Sehubungan itu, beliau menggesa MPS mewujudkan sistem pemantauan aduan yang lebih teratur, dengan setiap aduan diberikan nombor rujukan, jabatan yang bertanggungjawab, status tindakan serta anggaran tarikh penyelesaian.
Beliau juga menggesa ahli majlis menjalankan pemeriksaan berkala di kawasan masing-masing, memperkukuh penyelenggaraan pencegahan serta menilai semula keperluan tenaga kerja dan peralatan operasi, termasuk kenderaan skylift, bagi mengenal pasti kekurangan sumber serta keperluan sebenar di lapangan.
Menurutnya, keenam-enam ADUN Warisan berkenaan bersedia membantu melalui pemeriksaan tapak bersama, penyelarasan dengan jabatan kerajaan serta usaha mendapatkan sokongan Kerajaan Negeri.
“Kami bukan mengkritik semata-mata untuk mencari kesalahan. Kami benar-benar mahu melihat MPS melakukan penambahbaikan dan bersedia untuk turut serta, bekerjasama serta membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi,” katanya.
Thien menegaskan bahawa penduduk lebih mengutamakan penambahbaikan yang dapat dilihat dan dirasai dalam kehidupan seharian berbanding penarafan bintang, khususnya berkaitan pembaikan jalan raya dan longkang, kutipan sampah, penyelenggaraan kemudahan awam serta tindakan segera terhadap aduan.
“Matlamat bersama kita seharusnya menjadikan penilaian ini sebagai peluang untuk melakukan pembaharuan dan membawa penambahbaikan yang benar-benar memberi manfaat kepada kehidupan penduduk Sandakan,” katanya.

ALEX THIEN