KANAK-KANAK AUTISME DITEMUI LEMAS BERHAMPIRAN JAMBATAN

Oleh FARDY BUNGGA


LABUAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang menghidap autisme ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh dari jambatan berhampiran rumahnya di Kampung Patau-Patau Dua, di sini, kelmarin.
Mangsa ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira satu meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh, awal pagi Jumaat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Abd Rahman Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 10.30 malam.
Katanya, sepasukan anggota bomba bersama Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dikerahkan ke lokasi sebelum operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan.
“Mangsa berjaya ditemukan kira-kira jam 12.57 tengah malam, namun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba turut melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.38 pagi.

Anggota bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa di lokasi kejadian di Kampung Patau-Patau Dua, Labuan.