18 PATI ditahan, Ops Mahir dan Ops Kutip JIM Sabah

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Seramai 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dijalankan di sekitar daerah ini, kelmarin.
Menerusi kenyataan di laman sosial facebook rasmi JIM Sabah menegaskan, Operasi Mahir dan Operasi Kutip itu dikendalikan Unit Operasi Imigresen Kota Kinabalu melibatkan seramai 35 pegawai.
Katanya, sepanjang operasi berkenaan, seramai 134 orang telah diperiksa melibatkan warganegara Malaysia, Filipina, Indonesia dan Pakistan.
“Hasil pemeriksaan, seramai 18 warganegara asing ditahan selepas disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
“Daripada jumlah itu, 17 orang adalah warganegara Filipina terdiri daripada tujuh lelaki, lima wanita dan lima kanak-kanak, manakala seorang lagi lelaki warganegara Pakistan,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Menurutnya, JIM Negeri Sabah menegaskan akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.
Katanya, ia bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen di negara ini.

PATI ditahan selepas didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.