PENAMPANG: Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah diberkas ketika sedang menunggu pembeli dalam satu serbuan di sebuah taman perumahan di Bundusan, kira-kira jam 9.30 malam, Khamis.
Suspek berusia 41 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah selepas gerak-gerinya dikesan mencurigakan.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, serbuan dijalankan hasil risikan susulan maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan terhadap suspek menemukan dua plastik hitam yang dipegangnya, mengandungi beberapa paket kecil berisi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi serta ketulan hablur jernih dipercayai ketamin.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 108.71 gram ekstasi dan 5.24 gram ketamin dengan nilai sekitar RM2,800 mengikut harga pasaran,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek berada di lokasi berkenaan bagi menunggu pembeli sebelum ditahan pihak polis.
Katanya, suspek turut membawa polis ke sebuah kondominium di Kota Kinabalu, namun pemeriksaan lanjut tidak menemukan sebarang barangan salah.
“Turut dirampas sebuah motosikal dan sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.
“Siasatan lanjut mendapati suspek memperoleh bekalan dadah melalui kaedah ‘buang dan ambil’ di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang serta dipercayai mula aktif sejak November tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

DIRAMPAS …. Rampasan dadah yang diperoleh hasil penahanan suspek.






